Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui hanya mampu mengetuai pakatan pembangkang selama dua tahun berikutan faktor usia.
Memetik laporan versi portal akhbar The Mainichi yang berpangkalan di Jepun, Dr Mahathir mengakui berhasrat kembali memerintah dengan menubuhkan sebuah parti dan bergabung dengan pembangkang untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).
Dalam meneruskan hasrat mengalahkan BN, katanya, pakatan pembangkang berpendapat beliau harus mengetuai parti berkenaan.
“Saya tidak boleh bertahan lama, paling lama pun dua tahun.
“Itu sebabnya saya mengambil keputusan membentuk sebuah parti yang perlu bekerjasama dengan pembangkang lain sekiranya mahu menentang BN,” katanya.
Dr Mahathir turut berhasrat menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas bekas ketua pembangkang itu dibebaskan dari penjara, sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).