M Kulasegaran dari DAP dan Christina Liew dari PKR diumum naib presiden gabungan pembangkang itu.
Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pelantikan itu pada satu sidang media di Wisma Amanah hari ini. Turut hadir Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lim Guan Eng.
“Majlis Presiden PH adakan mesyuarat panjang lebar dan diantara keputusannya adalah jawatan dalam majlis presiden supaya kita dapat wakili semua di Malaysia,” katanya.
Gabungan ini mempunyai 6 naib presiden termasuk Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.
Bulan lalu, aktivis terkenal Datuk S Ambiga menegur gabungan itu kerana ketiadaan wakil India dalam gabungan itu. Beliau berkata barisan kepimpinan gabungan itu perlu mencerminkan kesungguhan mereka untuk menarik sokongan pelbagai kaum.
Pakatan Harapan juga mengumumkan pelantikan Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Husam Musa sebagai bendahari gabungan menggantikan Kulasegaran.
Sementara itu Dr Mahathir berkata beliau mahu bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan perkembangan terkini pendaftaran PH di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
“Jika ada kemusykilan pihak pemerintah, kami sedia buat pindaan jika perlu. Kami yakin menteri akan faham. Beri kami peluang untuk kemukakan pandangan dan mendengar pendapat daripada timbalan perdana menteri kenapa kelulusan belum diperoleh,” katanya.
JPPM pada Julai memberitahu PH mereka perlu mengubah logo gabungan itu untuk pendaftaran mereka kerana logo sedia ada dirasakan tidak sesuai kerana tidak mengandungi nama penuh Pakatan Harapan.
Dr Mahathir dilaporkan berkata gabungan itu sedia mematuhi permintaan itu dan akan kemukakan logo baharu.