Diketuai Ketua Pemuda AMANAH kelantan Hazmi Hassan, kira-kira 30 peserta berkumpul di Persimpangan Telipot dan mempamerkan plakad kepada pengguna jalan raya di sana.
Protes disambut baik sebahagian pengguna jalan raya yang 'menghadiahkan' hon ketika melintasi lokasi tersebut.
"Terima kasih, terima kasih kerajaan BN," mereka menyanyi secara spontan.
Protes tersebut berjalan lancar dengan diawasi kira-kira 30 anggota polis.
Hazmi ketika ditemui berkata, protes tersebut untuk menunjukkan betapa tindakan kerajaan menaikkan harga minyak selama 10 minggu berturut-turut tidak wajar sama sekali.
Katanya, protes itu juga untuk mendesak kerajaan agar mengkaji semula kenaikan yang dibuat apatah lagi di saat harga minyak global sedang menurun.
"Protes hari ini menyaksikan ramai pengguna motosikal dan kereta memberi respon yang baik.
"Siapa yang tak hon dia sokong minyak naik, sokong BN," katanya kepada Malaysiakini.
Harga runcit RON95 dan RON97 untuk minggu ini naik 4 sen kepada RM2.20 seliter dan RM2.48 seliter, manakala diesel naik 1 sen kepada RM2.05. Ia kenaikan untuk minggu kesepuluh sejak 6 Julai lalu.