Mungkin dalam minggu ini atau minggu depan, usul persempadanan atau lakaran baru kawasan-kawasan pilihanraya akan dibentangkan di Parlimen.

Usul itu juga, sebaik diluluskan melalui undian belah bahagi atau secara majoriti mudah saja, ia kemudian akan terus dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong untuk diperkenan dan diwartakan.
Bermakna, ia tidak akan melalui Dewan Negara sebagaimana kebiasaannya, meskipun langkah itu adalah dibenarkan.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengatakan, Parlimen hanya akan dibubarkan selepas usul persempadanan baru itu dilulus untuk diwartakan.
Dalam erti kata lain, selain keraguan terhadap kemenangan dan sokongan rakyat, tindakan Najib Razak melewat-lewatkan pembubaran Parlimen selama ini hanyalah semata-mata menunggu persempadanan baru diluluskan terlebih dahulu.
Ia dengan sendirinya mengesahkan bahawa Najib tiada keyakinan untuk menang pilihanraya akan datang, meskipun mempunyai pelbagai kelebihan seperti penggunaan jentera kerajaan, kewangan tanpa had, kawalan media dan sebagainya, melainkan dengan berharap kepada bantuan SPR untuk melakar semula kawasan-kawasan pilihanraya sedia ada.

Kali terakhir persempadanan baru dilakukan ialah pada 2003, tetapi sejak BN ketiadaan majoriti dua pertiga bermula pilihanraya 2008, pertambahan kawasan pilihanraya terhalang dengan sendirinya.
Meskipun tidak boleh menambah kawasan Parlimen dan DUN, tetapi dengan kuasa yang ada padanya, sesuai dengan pertambahan penduduk di banyak kawasan, SPR masih boleh membuat lakaran baru kawasan-kawasan pilihanraya untuk disesuaikan dengan perkembangan itu.
Malangnya, berdasarkan pendedahan di pelbagai media, lakaran baru kali ini seolah-olah mahu memberi kelebihan kepada UMNO dan BN, khususnya di negeri atau kawasan yang sedang dikuasai oleh pembangkang.
Telah didedahkan bagaimana sesuatu penempatan itu dikeluar atau dimasukkan ke kawasan-kawasan tertentu lebih berasaskan kepada kedudukan kaum dan bukannya untuk memberi kesamarataan berbanding kawasan-kawasan lain.
Read More / Baca Lagi >>