Skandal NFC: Pimpinan Pakatan Harapan, mahasiswa sokong Rafizi infomalay12.blogspot.com


Pimpinan Pakatan Harapan dan mahasiswa menyuarakan pandangan mereka di Facebook ekoran keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli atas dakwaan membocorkan maklumat kewangan Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyeru rakyat Malaysia untuk bangkit menyelamatkan Malaysia memandangkan individu yang merompak berbilion ringgit dana awam masih bebas.
“Rafizi Ramli dikenakan hukuman 30 bulan penjara. Sementara perasuah terkemuka di luar sana, bebas tanpa sekelumit rasa malu, walau berbilion dana rakyat menjadi korban!” tegasnya.
Pimpinan Pakatan Harapan, mahasiswa sokong RafiziMenurut Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor Jamzuri Ardani pula, Rafizi sebenarnya calon Perdana Menteri pada masa depan ekoran keputusan terhadap skandal penyelewengan yang telah berlalu enam tahun lalu itu.
Beliau menyeru supaya generasi muda menyokong pelantikan pengasas Invoke Malaysia yang pernah terlibat dalam bidang kewangan kira-kira 20 tahun itu untuk jawatan nombor satu kerajaan tersebut.
“Rafizi Ramli telah mula membina resume yang baik untuk melayakkan dirinya menjadi calon Perdana Menteri Malaysia akan datang.
“Seorang pemimpin itu mesti terbukti sanggup berkorban untuk rakyat. Itulah pemimpin masa depan untuk negara ini.
“Saya menyeru generasi anak-anak saya untuk mengangkat Rafizi Ramli kelak sebagai Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya lagi.
Hakim Zamri Bakar hari ini memerintahkan Rafizi dan bekas kerani bank Johari Mohamad masing-masing dihukum 30 bulan penjara kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia).
Keputusan tersebut juga mengundang reaksi Pimpinan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nazrul Nazir yang mengingatkan semua pihak mendapatkan fakta yang benar terlebih dahulu.
Menurut mahasiswa undang-undang itu, Rafizi dan Johari diputuskan bersalah bukan atas kesalahan memfitnah bekas Pengarah NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail dan NFC sebaliknya mendedahkan penyata akaun bank NFC yang merupakan kesalahan di bawah Bafia.
“Fitnah ke atas Datuk Salleh dan NFC, ia telah diputuskan bahawa Rafizi bersalah memfitnah mereka oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2016, namun rayuan telah difailkan oleh Rafizi dan akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini,” jelasnya.
Justeru, Nazrul mengingatkan adalah tidak adil apabila keputusan hari ini diulas kononnya Rafizi memfitnah sedangkan merujuk kepada kes yang berbeza.
“Belum ada keputusan untuk kesalahan memfitnah kerana ia masih dalam rayuan. Bukankah ‘one is innocent until it’s proven guilty’?
“Berlaku adillah, kerana ia lebih dekat dengan taqwa,” ujarnya memetik terjemahan al-Quran, Surah Al-Maidah, ayat 8.
Untuk rekod, skandal NFC membabitkan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika menjadi Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat ekoran pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010.
Analisis audit mendapati objektif projek ternakan lembu itu belum dicapai sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor antaranya sasaran pengeluaran sebanyak 38,600 ekor lembu pada 2010.
Tender projek NFC yang mendapat pinjaman mudah RM250 juta itu dimenangi keluarga Shahrizat dengan Pengerusi Eksekutif NFC adalah suaminya iaitu Salleh manakala anak mereka, Wan Izran Mohamad Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif NFC.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: