SASAR 5,000 PENDUDUK JERANTUT SERTAI PROGRAM 1MPAK infomalay12.blogspot.com


Sasar 5,000 penduduk Jerantut sertai program 1MPAK



Jerantut menjadi destinasi ketiga siri jelajah Inisiatif Melestarikan Pembangunan Komuniti (1MPAK) dan dijangka seramai 5,000 peserta di daerah ini yang akan mendaftar pada program yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini, semalam.

1MPAK yang dilancarkan di Bera, 27 Januari lalu, diikuti Paya Besar pada 3 Februari lalu dan dianggarkan kira-kira 6,000 peserta telah berdaftar bagi mengikuti program terbabit.

Ahli Parlimen, Dato' Ahmad Nazlan Idris berkata, beliau menjangkakan jumlah itu akan meningkat berikutan sambutan menggalakkan yang diterima dari masyarakat setempat yang ingin mengetahui apakah sebenarnya program 1MPAK itu.

"Saya amat yakin, pada penghujung bulan Mac ini, penyertaan masyarakat boleh mencecah sehingga 10,000 dengan komitmen yang diberikan oleh Adun dan pimpinan setempat dalam usaha memaklumkan kepada masyarakat tentang kebaikan program ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program itu, semalam.

Majlis turut dihadiri Adun Damak, Dato' Lau Lee, Pegawai Daerah, Dato' Tengku Nur Asmaliza Ku Lah, Timbalan Ketua Pengarah, Pendidikan, Mara, Datuk Mohamed Roseli Dol dan Pengarah Mara Negeri Pahang, Salemi Yusoff.

Katanya, pelbagai usaha yang dilakukan oleh Mara terutamanya dalam bidang pendidikan, kemahiran dan keusahawanan membuktikan kerajaan serius dalam membantu masyarakat terutamanya yang berada luar bandar.

"Inilah jasa yang diberikan Mara yang tidak pernah putus-putus memberikan perkhidmatan kepada rakyat sejak ia ditubuhkan pada tahun 1966 untuk memastikan rakyat sentiasa berada dalam keadaan sejahtera khususnya masyarakat luar bandar.

"Ia sekali gus membuktikan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tidak ada kumpulan masyarakat yang terpinggir dan komitmennya sendiri dalam membandarkan masyarakat luar bandar, agar tidak ada masyarakat luar bandar yang berhijrah ke bandar," katanya.

Ahmad Nazlan juga berkata, 1MPAK bukan sahaja membantu belia yang mencari peluang pekerjaan tetapi turut memberi ruang kepada mereka yang berminat dalam bidang keusahawanan.

"Jerantut memang terkenal dengan pelbagai produk makanan tradisional, hasil kraftangan dan produk berasaskan ikan sungai yang boleh di ketengahkan.

"Justeru itu usahawan tempatan perlu merebut peluang memasarkan produk masing-masing ke peringkat global," katanya.


Subscribe to receive free email updates: