[LIPIS] KEMENTERIAN KERJA RAYA LULUS PERUNTUKAN SGERA infomalay12.blogspot.com


Kementerian Kerja Raya lulus peruntukan segera


Penduduk sekitar Pos Betau menarik nafas lega apabila Kementerian Kerja Raya meluluskan sejumlah peruntukan segera bagi membaik pulih cerun runtuh di jalan utama Cameron Highlands.

Wakil penduduk, Ahmad Selalu, 53, berkata, kerja-kerja membaik pulih itu penting kerana jalan berkenaan merupakan laluan utama penduduk Orang Asli dari Pos Betau, Pos Lenjang dan Pos Titom ke pekan Ringlet serta Felda Sungai Koyan.

Menurutnya, jalan terbabit juga merupakan laluan alternatif pelancong dari Pahang Barat untuk berkunjung Cameron Highlands dan ribuan kenderaan melalui jalan berkenaan setiap minggu untuk bercuti ke pusat pelancongan terkenal itu.

"Cerun runtuh ini berhampiran dengan Kampung Meter dan Kampung Jerangkak yang menempatkan kira-kira 400 penduduk Orang Asli.

"Usaha membaik pulih segera cerun runtuh itu dapat mengurangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya untuk ke Cameron Highlands dan penduduk setempat yang berulang alik menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Betau," katanya di sini semalam.

Sabtu lalu, laluan di kilometer 30 Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands dekat Kampung Meter, Pos Betau di sini terjejas ekoran cerun runtuh melibatkan kawasan seluas 55 meter (m) panjang dan 5.7m lebar akibat hujan lebat serta kegagalan sistem pembetung yang menyebabkan ia patah lalu melemahkan struktur tanah berhampiran.

Bagaimanapun, tiada kehilangan jiwa serta kerosakan harta dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dan laluan ke Cameron Highlands masih boleh dilalui oleh kenderaan menggunakan satu lorong.

Ahmad berkata, dia turut terharu dengan keprihatinan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berkenan mencemar duli bagi meninjau lokasi runtuhan berkenaan pada Isnin lalu.

Semasa mengadakan lawatan tersebut, Tengku Abdullah sendiri sempat menghubungi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof yang membolehkan peruntukan segera diberikan bagi membaiki laluan berkenaan.

Difahamkan juga Kementerian Kerja Raya telah meluluskan sejumlah peruntukan segera bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih itu dilakukan dan dijangka akan mengambil masa seawal enam bulan sehingga satu tahun untuk disiapkan.

Tengku Abdullah turut meminta agar Jabatan Kerja Raya supaya pemantauan lebih rapi dilakukan di sekitar bukit bukau sepanjang jalan raya bagi menghalang kerosakan serius dari berlaku sekaligus mengelak terjadinya kemalangan nyawa atau harta.


Subscribe to receive free email updates: