Skuad Tok Gajah melakar kemenangan sulung dalam saingan Liga Super 2018 selepas menundukkan The Red Warriors (TRW) 3-0 di Stadium Darul Makmur, di sini malam tadi.
Kehadiran penyerang kelahiran Liberia Forkey Doe yang baru tiba beberapa hari lalu dengan penampilan sulung dalam skuad kendalian Dollah Salleh memberikan gol pertama buat Pahang musim ini selepas tandukannya menerjah ke dalam gawang lawan pada m"12.
Tuan rumah menguasai permainan dengan beberapa cubaan menarik dan kedudukan kekal hingga tamat separuh babak pertama perlawanan.
Bersambung babak kedua,Pahang menambahkan derita Kelantan menerusi rembatan Mohamadou Sumareh yang memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gawang lawan pada m"54.
Skuad kendalian Sathit Bensoh pula masih buntu merobek gawang tuan rumah sebaliknya anak -anak buah Dollah Salleh terus garang membuat asakan di hadapan gawang pelawat.
Pahang terus menghukum kealpaan pertahanan lawan menerusi tendangan pemain tengah Nor Azam Azih dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol TRW,Khairul Fahmi Che Mat pada m-87.
Kedudukan kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hasan.
Kehadiran lebih 12,000 penonton malam ini menjadi saksi kebangkitan Pahang untuk merangkul tiga mata penuh dalam perlawanan ini.