“Arwah pesan, jangan serahkan anak-anak kepada orang lain terutama anak dalam kandungan,”demikian luahan ibu tunggal anak lima, Noor Aishah Saidin, 35, yang kematian suaminya, Saiful Nizam Ali, 37 enam bulan lalu akibat kanser paru-paru.
Noor Aishah berkata, ketika arwah suami disahkan mengidap kanser, usia kandungannya mencecah usia sebulan dan selamat melahirkan anak bongsu pada 20 Januari lalu tanpa suami di sisi.
Menurutnya, dia tetap akan menjaga kelima-lima anaknya sebaik mungkin kerana hanya itu sahaja harta yang ditinggalkan arwah suami yang bekerja sebagai pemandu lori.
“Ramai yang bertanya anak bongsu yang baru dilahirkan, Aira Nur Delisha, yang berusia 20 hari ini, namun saya tidak sanggup untuk menyerahkannya kepada orang lain.
“Selepas habis tempoh berpantang, saya mahu bekerja untuk menampung kehidupan sekeluarga. Buat masa ini saya menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditinggalkan arwah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rumbia, Beserah.
Noor Aishah berkata, dia bersyukur kerana banyak pihak dan individu dermawan yang menyampaikan sumbangan membantu keluarganya.
Katanya, keempat-empat anaknya bersekolah dan memerlukan belanja yang banyak bergantung pada keadaan.
“Bagaimana pun, anak kedua, Nur Fatin Yusrina, 10, menunjukkan minat mahu melanjutkan pelajaran di maahad tahfiz selepas ditawarkan oleh pemilik tahfiz berkenaan baru-baru ini.
“Saya restu jika itu yang terbaik dia buat masa ini. Lagipun jarak tahfiz dengan rumah tidak jauh,” katanya.
Noor Aishah berkata, dia lega apabila anak-anaknya memahami situasi selepas kematian bapa mereka.
“Tiga hari lepas, anak ketiga, Mohd Irfan Hadi, 5, beritahu saya dia rindukan arwah ayah. Sedih hati saya bila teringatkan keadaan itu. Tapi sebagai ibu dan ketua keluarga, saya kena kuat demi anak-anak,” katanya.
Katanya, anak sulung, Nur Qurratul Aini Damirah, 11, sudah boleh diharap dan banyak membantunya melakukan kerja rumah memandangkan dia masih dalam pantang selepas bersalin.
Tambahnya lagi, dia kini sedang menunggu bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang masih dalam proses.
Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Noor Aishah Saidin, 156169334949.