Jerai – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berharap pihak media tidak terlalu banyak membuat spekulasi berkaitan calon untuk Pilihanraya Umum ke14 (PRU-14) kerana ia sesuatu yang tidak sihat.
Jelas beliau, semua peringkat BN sedang menentukan calon terbaik dan pada penghujungnya ia akan ditentukan oleh Pengerusi BN, Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak.
“Saya minta pemberita, jangan terlalu banyak spekulasi. Ini tidak sihat.
“Kita sedang menentukan senarai calon dan ia akan dihantar dan diputuskan oleh Pengerusi BN.
“Pemuda sendiri sudah ada senarai tetapi terpulang kepada pucuk pimpinan untuk putuskan,” ujar beliau dalam sidang media selepas menghadiri pelancaran Jelajah Briged 2314 Pemuda BN peringkat negeri Kedah di Kampung Keda, Jerai.
Beliau turut melahirkan rasa puas hati melihat semangat Pemuda BN Kedah yang sangat tinggi untuk memastikan BN terus bertapak di Kedah selepas PRU-14 nanti.
Selain itu, Khairy turut mengumumkan pembinaan Kompleks Sukan Jerai yang bernilai RM 8 juta.