Program Inisiatif Melestarikan Pembangunan Komuniti (1mpak) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) melaksanakan tiga pendekatan baharu di bawahnya dalam usaha membantu golongan belia luar bandar mendapatkan pekerjaan.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, tiga pendekatan berkenaan meliputi Program Graduate Employability Training Scheme (Gets), Pembangunan Komuniti Usahawan (Bless) dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Jelasnya, ia akan memberi pendidikan dan latihan tertentu untuk menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi.
"Mereka yang sudah tamat persekolahan akan dipadankan dengan industri tertentu mengikut minat masing-masing bagi melalui latihan dan kursus kemahiran yang disediakan sebagai persiapan untuk alam pekerjaan.
"Pendek kata mereka tidak perlu keluar mencari pekerjaan malah kali ini pekerjaan yang akan dibawa sekali gus dipadankan dengan belia-belia ini.
"Manakala bagi bantuan keusahawanan yang diketengahkan bakal melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan belia dan seterusnya mewujudkan majikan serta mencipta peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata dalam satu sidang media selepas Perasmian 1mpak bagi Parlimen Paya Besar yang dirasmikan ahli Parlimennya, Dato' Sri Abdul Manan Ismail, di sini, semalam.
Turut hadir, Adun Sungai Lembing, Dato' Md. Sohaimi Mohamed Shah, Adun Panching, Dato' Mohd. Zaili Besar dan Pengarah Mara negeri, Salimi Yusuf.
Paya Besar menjadi lokasi kedua penganjuran program 1mpak selepas dilancarkan, 27 Januari lalu oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Kerayong Bera, Bera.
Pada program yang berlangsung sehari ini, telah dianggarkan lebih 3,000 belia berdaftar untuk mengikuti program 1mpak, di sini.
Tambahnya, diyakini 1mpak dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja kompeten sekaligus memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang diperlukan industri.
"1mpak telah bekerjasama dengan lebih 70 syarikat daripada pelbagai industri berbeza seperti perkhidmatan perniagaan, elektrikal, automatif dan aeroangkasa bagi mencapai misi tersebut," katanya.
Sementara itu, Abdul Manan berkata, rakyat perlu mengambil peluang ekonomi yang diberikan kerajaan.
"Kita tidak boleh lagi hidup seperti katak di bawah tempurung dan berpuas hati dengan apa yang ada selama ini.
"Belia dan semua lapisan masyarakat perlu meningkatkan diri sendiri dengan mengupayakan diri melengkapi kemahiran-kemahiran diperlukan industri yang ada hari ini," katanya.