Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas 5,850 karton rokok seludup membabitkan nilai keseluruhan RM694,512 dalam serbuan di 250 Kilometer (KM) Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2,susur keluar Tol Jabor kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Ketua Bahagian Operasi/ Risik PPM Wilayah Tiga, Deputi Superitendan Mohd Razlin Abd Manaf, berkata rokok jenama U2 Merah itu ditemui dalam sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun berasal dari Perkampungan Seri Setali di sini.
Menurutnya,serbuan dilakukan sepasukan anggota diketuai pegawai serbuan Asisten Superitendan Rizalman Zulkifli yang melakukan risikan selama dua minggu selepas mendapat maklumat daripada orang awam.
"Dipercayai lori seludup berkenaan dibawa dari Kelantan untuk dipasarkan di negeri ini serta Terengganu dan ia adalah kali pertama suspek ditahan, kita sedang mengesan majikannya untuk siasatan lanjut.
"Lori berkenaan yang dianggarkan bernilai RM150,000 turut dirampas yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan pada operasi ini sebanyak RM844,000,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Tiga di sini, semalam.
Jelasnya, kes yang disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 itu akan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Menurutnya,pihaknya akan meneruskan pemantauan dan operasi untuk membanteras kegiatan penyeludupan rokok seludup dan memohon kerjasama daripada orang ramai.
"Kita memerlukan maklumat daripada orang ramai bagi membantu operasi pencegahan rokok seludup,” katanya.