Memulau pilihan raya atau merosak undi bermakna jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik, kata presiden PAS.
PETALING JAYA: Haram bagi orang Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosak undi, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ini kerana mereka menarik diri daripada tanggungjawab menentukan nasib dan hala tuju masyarakat.
“Pilihan raya alat bagi memilih pemimpin yang wajib dalam kehidupan bermasyarakat dan menjadi sebahagian daripada syariat Islam, sama ada mewakilinya menjadi pemerintah secara langsung atau mewakili dalam kewajipan amar maaruf dan nahi mungkar.
“Tindakan pemulauan atau merosak kertas undi adalah menempah kepada keburukan yang lebih besar mudaratnya, apabila melakukan pilihan lebih besar mudaratnya kepada negara dan umat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Hadi menambah memulau pilihan raya atau merosak undi bermakna jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik kepada yang lebih baik.
“Memulau pilihan raya juga mendedahkan kepada pilihan yang merosakkan negara dan rakyat, sama ada secara bersendiri atau mengundang campur tangan asing yang menjajah semula.
“Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar.
“Perkara inilah yang sangat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam negara atau di luar negara. Maka kalangan yang melaksanakan kempen memulau pilihan raya sama ada kerana bodoh dan jahilnya atau kesediaannya menjadi alat bagi memberi laluan mudah kepada musuh Islam dan musuh negara,” katanya.
Sebelum ini, seorang aktivis yang menyokong kempen supaya orang ramai merosakkan undi mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berkata gerakan itu semakin mendapat tempat di kalangan orang muda.
Read More / Baca Lagi >>