[BENTONG] LORI BALAK UNDANG BAHAYA infomalay12.blogspot.com


Lori balak undang bahaya



Masyarakat di Felda Lurah Bilut menyambut baik dan sangat menghargai usaha kerajaan dalam membangunkan Felda mereka yang telah dijadikan sebagai projek perintis FELDA 2.0 yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak.

Pelbagai infrastruktur sudah ditransformasikan seperti kedai serbaneka D'Mart, Titian Tun Razak, Bilut Backpackers Hostel, Lembah Digital Bilut Co-working, White House, Mural Kilang Baja, tar jalan baharu yang mampu menghasilkan wajah ceria di setiap muka peneroka di sini.

Namun, kegembiraan itu mula terhalang apabila kehadiran lori balak yang melalui laluan utama kampung yang membawa lebih had muatan dan tiada ciri-ciri keselamatan sekali gus mengancam keselamatan penduduk Felda Lurah Bilut.

Seorang peneroka, Zaidon Ahmad, 64, berkata penduduk sepakat melaporkan perkara tersebut kepada media ekoran tidak tahan lagi dengan keadaan yang semakin membimbangkan kerana lori balak tersebut kini keluar masuk sesuka hati dan telah melanggar syarat yang ditetapkan oleh Felda.

Menurutnya, lori membawa balak berkenaan ke kilang papan yang telah beroperasi semula selepas ditutup kira-kira 10 tahun lalu.

“Kilang ini mula beroperasi secara penyewaan sejak tiga tahun lalu selepas jambatan baharu ini diwujudkan oleh Felda. 

“Saya gesa kepada pihak berwajib bantulah kami agar lori balak ini tidak dibenarkan beroperasi dan melalui laluan kampung kami,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Felda Lurah Bilut di sini, semalam.



Lori balak melalui jambatan ketika media dan penduduk kampung melihat jambatan tersebut.


Ancam nyawa penduduk

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Lurah Bilut, Abdul Hanim Abd Latiff, 52, berkata lori berkenaan keluar masuk tanpa mengira waktu termasuk ketika anak-anak penduduk pergi dan balik sekolah yang dikhuatiri membahayakan mereka di samping laluan yang menjadi tumpuan dari segi semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, walaupun belum pernah berlaku kemalangan, namun penduduk merasakan nyawa mereka seolah-olah terancam khususnya penunggang motosikal dan pejalan kaki setiap kali berselisih dengan lori berkenaan.

“Dari segi keselamatan itulah yang kami titik beratkan supaya masyarakat di Lurah Bilut ini hidup dalam keadaan harmoni dengan arus pembangunan selaras FELDA 2.0 di sini. Jadi, kami tak nak lihat lori-lori balak ini keluar masuk sewenang-wenangnya melalui kampung ni.

“Kita minta pihak berwajib tolonglah kami di sini. Janganlah dah berlaku sesuatu baru nak ambil tindakan,” katanya.

Perkara sama turut dikongsi Tok Batin Tanjung dan masyarakat Orang Asli yang tinggal di Sungai Bilut yang kesal jalan tersebut diambil kesempatan pihak lain.

“Kami sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada kerajaan yang telah menghubungkan kami kepada Felda Lurah Bilut kerana semua kemudahan yang ada di kawasan itu dapat kami gunakan seperti sekolah, klinik kesihatan, pejabat pos dan sebagainya.

“Masyarakat Orang Asli juga berasa sedih kerana kemudahan yang disediakan kepada kami digunakan pihak lain dan pada masa sama mengancam keselamatan kami,” katanya.

Sepakat tidak benarkan lori balak masuk

Menurut wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Felda Lurah Bilut, Abdul Rahim Osman, 38, pihaknya serta pengurusan Felda telah pun banyak kali berjumpa dengan pengurusan kilang papan sejak tahun lepas.

“Dalam perjumpaan itu, kami telah berikan pelbagai kaedah penyelesaian namun sehingga hari ini tiada apa-apa tindakan daripada kilang tersebut malah mereka telah melanggar syarat yang telah kita tetapkan.

“Kita cadangkan solusi namun dipatuhi sehari dua sahaja..lepas itu kembali pada asal dan kami telah sepakat tidak lagi benarkan lori balak melalui jalan kampung.

“Kita telah cadangkan agar mereka buat laluan baru di tepi Sungai Bilut dan melalui laluan itu, lori balak boleh keluar terus ke Raub,” katanya.

Sementara itu, wakil Ketua Peneroka Felda Lurah Bilut, Md Zulkifle Md Yunus berkata pengurusan Felda telahpun berjumpa dengan Pejabat Daerah dan Tanah Bentong, Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Pejabat Perhutanan Bentong dan Pejabat Perhutanan Raub sejak dua bulan lalu namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan.


Subscribe to receive free email updates: