Mahkamah ketepi penghakiman Akta Hasutan infomalay12.blogspot.com

 Malaysiakini 8/1/18

Lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada November 2016 berhubung keperluan pihak pendakwaan membuktikan niat individu yang didakwa sebagai menghasut.

Selain itu, mahkamah juga menyifatkan rayuan sivil Aggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda dari PKR, Mat Shuhaimi Shafie, supaya Seksyen 3 (3) Akta Hasutan diisytiharkan tidak berpelembagaan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.

Bagaimanapun, Ketua Hakim Malaya Tan Sri Ahmad Maarop - yang menulis keputusan sebulat suara berkenaan - tidak membuat keputusan mengenai bahagian perlembagaan berkenaan.

"Mahkamah Rayuan salah dalam membenarkan rayuan responden (Mat Shuhaimi) yang mana ia mewajarkan campur tangan kami.
"Keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan dan keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan. Kami menolak untuk menjawab soalan dua dan tiga daripada cabaran yang dikemukakan," katanya.

Mahkamah menyifatkan permohonan sivil berkenaan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah kerana Mat Shuhaimi sebelum ini tidak berjaya untuk mengetepikan seksyen 4 akta sama.

Hakim lain dalam panel itu ialah Datuk Ramly Ali, Datuk Balia Yusof Wahi, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.
Mahkamah kemudian tidak membuat sebarang perintah mengenai kos walaupun peguam kanan persekutuan yang diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud meminta RM15,000.

Dengan keputusan hari ini, Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan bagi Mat Shuhaimi akan disebutkan di Shah Alam pada Rabu ini.
Mat Shuhaimi yang juga setiausaha politik menteri besar Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2011 atas tuduhan menghasut dengan memuat naik satu artikel berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Shah Alam pada 30 Disember 2010.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :