Sejarah Umno akan ditentukan di Batu Pahat, Johor infomalay12.blogspot.com

PADA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), buat pertama kali PKR menawan Parlimen Batu Pahat. Calon PKR Mohd Idris Jusi memperoleh 38,667 undi atau mewakili 51% undi manakala Mohd Puad Zarkashi, yang sebelum itu timbalan menteri pelajaran, tewas apabila hanya memperoleh 36,935 undi atau 49% undi.
Pada PRU12 sebelum itu, Puad menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti sebanyak 12,704 undi. Ada perbezaan undi yang sangat besar, iaitu daripada memperolehi 12, 704 undi pada tahun 2013 kepada tewas dengan defisit undi sebanyak 1,724 undi.
Pola sokongan undi yang turun ini sebenarnya perlu dilihat secara lebih jauh lagi. Hal ini kerana sebelum ini, Dr Junaidy Abdul Wahab, AJK biasa Umno yang pernah bertanding mewakili Barisan Nasional di Parlimen Batu Pahat pada tahun 2004, pernah menewaskan lawan politik PAS sebanyak 29,102 undi majoriti, pencapaian yang lebih cemerlang berbanding tahun 2008.
Namun Dr Junaidy tidak dicalonkan demi memberikan ruang kepada Puad untuk bertanding. Sebenarnya nama Puad pernah disebut-sebut sebagai calon ahli Parlimen sejak tahun 1999 lagi yang disokong kuat oleh menteri besar Johor ketika itu.
Puad dan politik
Ketika itu Puad menyandang jawatan naib ketua bahagian. Namun, Timbalan Ketua Bahagian Umno Batu Pahat, Siam Kasrin yang lebih kanan dari segi jawatan politik bahagian dilcalonkan sebagai ahli Parlimen pada PRU 1999 hingga 2004. Puad juga memegang jawatan setiausaha politik menteri besar Johor dan setiausaha kerja Umno Johor. Ketua Bahagian Zainalabidin Mohd Zin pula tidak dicalon sebagai ahli Parlimen kerana beliau sudah memegang jawatan exco Kerajaan Negeri Johor.
Pada tahun 2001, Puad berjaya mengalahkan timbalan ketua bahagian dan ketika itu, kekuatan Puad terletak pada kedudukannya sebagai setiausaha politik Abdul Ghani Othman, menteri besar Johor ketika itu.
Pembabitan awal Puad dalam politik dikatakan banyak disokong oleh Anwar Ibrahim pada tahun 80-an, iaitu daripada gerakan Abim. Beliau pernah menyertai PAS sebelum dineutralkan sebagai ahli Umno tegar apabila Anwar meminta agar Puad diberikan tempat dalam politik Umno.
Jawatan setiausaha kerja Umno Negeri Johor dan setiausaha politik menteri besar ialah wadah politik untuk Puad bergerak lebih dinamik dalam politik Umno Johor.
Puad menjadi ketua Umno Bahagian Batu Pahat mengalahkan Adun Rengit, Ayub Jamil selepas ketua bahagian yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Zainalabidin Mohd Zin gagal memperolehi kuota pencalonan mencukupi dari cawangan.
Politik Batu Pahat
Kekalahan Puad pada PRU13 sebenarnya bukanlah mengejutkan kerana menurut sentimen politik semasa dan laporan soal selidik, kawasan Parlimen Batu Pahat ialah kawasan kelabu, iaitu boleh dimenangi sama ada oleh BN atau pembangkang, bergantung kepada strategi politik.
Namun hingga saat akhir Puad menunjukkan minat untuk terus bertanding di Batu Pahat walaupun petunjuk politik tidak memihak kepada beliau. Puad sedar akan risiko politik ini dan presiden Umno tahu implikasi politik apabila membenarkan situasi ini berlaku. Hal ini perlu dijadikan iktibar politik masa akan datang agar realiti politik tidak dikaburkan oleh rayuan politik.
Ada yang melihat faktor kurang mesra dengan akar umbi kawasan pengundi Melayu menyebabkan kekalahan besar tersebut. Kecenderungan Puad mengumumkan peruntukan kawasan Cina yang cukup besar sedangkan di kawasan Melayu sendiri sangat kurang menyebabkan undi Melayu Batu Pahat terguris sedangkan mereka golongan majoriti yang perlukan bantuan sewajarnya.
Di satu sisi lain peranan memberikan bantuan dana kepada Cina sewajarnya dibuat oleh pihak MCA atau Chua Soi Lek selaku presiden MCA, namun lebih banyak dibuat oleh Puad. Ini menunjukkan pembahagian atau gerak kerja komponen BN di Batu Pahat kurang sistematik.
Di sinilah persepsi pengundi Melayu Batu Pahat melihat Puad lebih memfokuskan kepada undi Cina yang diyakini oleh Puad mampu memberikan populariti undi yang lebih tinggi daripada 2008.
Di peringkat nasional pula, golongan guru kurang berpuas hati dengan teguran-teguran Puad berkenaan penglibatan politik oleh golongan guru dan isu-isu pendidikan ketika Puad menjadi timbalan menteri pelajaran.
Sejarah Umno berakhir di Batu Pahat?
Penolakan peringkat mikro dan makro menyebabkan Parlimen Batu Pahat yang selama ini benteng kuat Umno runtuh. Batu Pahat sangat rapat dengan sejarah kelahiran Umno.
Selama ini Umno Batu Pahat dilihat antara tiang seri dan jantung hati BN. Maka, Umno wajar memberikan tumpuan merawat jantung hati BN ini agar kembali pulih dan sesuai dengan semangat Umno yang berakar di Batu Pahat.
Di Batu Pahatlah Datuk Onn mengadakan perhimpunan di Masjid Jamek Batu Pahat pada 3 Disember 1946 selepas solat Zohor dan menyeru Melayu bersatu dan berjaya menghimpunkan kira-kira 3 ribu orang. Beliau buat pertama kali melaungkan slogan “Hidup Melayu” yang selama ini menjadi slogan Umno.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :