Amerika Syarikat kini bergerak selangkah lagi, seiring dengan harapan serta doa jutaan rakyat Malaysia apabila dilaporkan akan memulakan siasatan jenayah berhubung wang 1MDB yang diselewengkan.
Alasan penangguhan saman sivil dan mendahulukan siasatan jenayah ialah kerana DOJ berpendapat meneruskannya mungkin akan menjejaskan kemampuannya dalam mengendalikan siasatan jenayah itu.
Bloomberg melaporkan, dokumen mahkamah yang difailkan DOJ jelas memperlihatkan AS sedang mempergiatkan siasatannya di seluruh dunia bagi mengesan wang 1MDB yang diselewengkan yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah AS$4.5 bilion atau kira-kira RM19,000 juta.
Adakah laporan Bloomberg ini boleh dipercayai?
Jika pada 29 Jun lalu Bloomberg melaporkan kedudukan ringgit Malaysia adalah paling kukuh di Asia dan ramai gembira serta terloncat-loncat kegirangan dengan laporan itu, maka tiada sebab mereka mesti menolak serta mempertikaikan laporannya berkaitan siasatan jenayah 1MDB ini
Jangan pula ada yang kata Bloomberg sebagai pembawa fitnah atau agen Yahudi untuk menjatuhkan kerajaan melalui laporannya kali ini.
Daripada AS$4.5 bilion wang 1MDB yang didakwa diselewengkan itu, jumlah pelbagai aset dan hartanah yang sedang diusahakan untuk kembalikan kepada rakyat Malaysia oleh DOJ ialah berjumlah AS$1.7 bilion atau melebihi RM7,000 juta.