Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata ia adalah garis panduan dan langkah pencegahan awal berikutan Sistem Salah Laku Disiplin Murid (SSDM) kementerian mencatatkan kadar salah laku dan masalah disiplin murid agak tinggi.
"Ini (menyenaraikan) adalah untuk mengumpulkan maklumat, bukan bertujuan mengenakan hukuman. Penyenaraian ini juga tidak akan menjejaskan prestasi sekolah.
"Kementerian tidak melihat sekolah yang tersenarai sebagai teruk tetapi menunjukkan ada pemantauan terhadap sekolah yang memerlukan kaunseling," katanya pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Didik BH bersama Tesco, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid dan Penulis Kanan Khas (Ekonomi dan Hal Ehwal Semasa) BH, Saidon Idris.
Selain itu, turut hadir Pengarah Stor Sentral, Tesco Malaysia, Christoper Anthony dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Yayasan UEM, Datin Nor Rubaiha Mohamed Nor.
Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata, kaunseling bukan membabitkan masalah disiplin seperti buli dan pengedaran dadah sahaja tetapi mempunyai konsep lebih luas.
Katanya, kementerian prihatin terhadap isu pelajar lewat ke sekolah, yang berpunca daripada masalah lain seperti tinggal jauh daripada sekolah dan masalah keluarga.
"Kementerian akan terus menjalankan pemantauan di 10,000 sekolah di seluruh negara.
"Ketika ini, kementerian turut menjalankan program kerjasama sekolah angkat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) .
"Mereka akan bantu dan menjalankan pemantauan kerana ada sekolah yang memerlukan pengawasan dan penyeliaan pegawai," katanya.
Kamalanathan berkata, kementerian turut mengalu-alukan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk untuk membanteras masalah disiplin membabitkan pelajar sekolah.
Sumber: Berita Harian