Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Umno tidak melihat tindakan melontar kerusi ke arah Dr Mahathir Mohamad sebagai perkara serius.
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PPBM berkata, Umno seolah-olah menghalalkan gengsterisme di negara ini apabila Datuk Seri Najib Razak menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kenyataan kerusi dilontar ke arahnya kerana kerap membuat pusingan U.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Umno tidak melihat tindakan melontar kerusi ke arah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perkara serius.
“Ini jelas menunjukkan Umno menggalakkan gengsterisme, jika ada pihak yang tidak sehaluan dengan mereka. Ini tindakan dan kenyataan salah.
“Jika rakyat Malaysia, termasuk Dr Mahathir tidak menyokong Umno, keganasan yang ditujukan kepada bekas perdana menteri itu adalah halal,” katanya kepada FMT.
Semalam, perdana menteri menyindir Dr Mahathir dengan berkata, kekecohan yang berlaku dalam forum Nothing to Hide 2.0, Ahad lalu di mana kerusi, kasut dan suar yang dilontar ke arahnya, tidak akan berlaku jika beliau tidak membuat pusingan U.
“Buat pusingan U dulu lain, hari ini lain. Sebab banyak sangat buat pusingan U, kerusi pun melayang.
“Dalam politik, ayah saya pernah sebut, mesti ada keikhlasan kerana politik bukan hari ini cakap lain, esok pula cakap lain,” kata Najib di Permatang Pauh, Pulau Pinang semalam.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kenyataan Najib membuktikan Umno dan Barisan Nasional dalam keadaan terdesak sehingga sanggup menghalalkan gengsterisme demi menutup mulut pengkritik mereka.
“Umno atau sesiapapun yang menggunakan gengsterisme untuk mendiamkan pemimpin PPBM, cara ini tidak akan berjaya. Lagi mereka tentang atau tekan, lagi kuat kita akan lawan,” katanya.
Beliau turut menggesa Najib berhenti melabelkan Dr Mahathir sebagai diktator, Mahafiraun dan Mahazalim.
Read More / Baca Lagi >>