Kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad suruhanjaya itu boleh menyiasat Zahid Hamidi yang didakwa memiliki kekayaan melampau, RM230 juta sekiranya ada asas. Asas itu dijadikan syarat untuk SPRM menyiasat, tegasnya.
Sebenarnya kalau Dzulkifli tidak bercakap lagi bagus mengenai hal ini kerana orang sudah tahu apakah tindakan dan sikap SPRM terhadap Zahid sebagai seorang penjawat jawatan kedua negara ini. Suruhanjaya itu sama sekali tidak berani untuk menyiasat mana-mana individu berkedudukan setinggi Zahid itu.
Bila beliau bercakap menyebabkan orang ramai naik darah kerana sudah maklum macam mana sikap badan-badan penguasat kuasa yang dibawah kawalan pihak berkuasa, seperti SPRM, Polis Di Raja, Kehakiman, SPR dan lain-lain.
Contoh sudah ada bagaimana Najib Razak boleh tidur lena dan pagar rumahnya tanpa perlu dikunci daripada dimasuki pegawai SPRM walaupun orang sudah kalut seantero dunia mengatakan dia melakukan salah guna kuasa dalam skandal 1MDB. Perjalanan 1MDB dan skandalnya tidak dapat dielakkan daripada dibabitkan dengan Najib.
Kemasukan dana RM2.6 billion ke dalam akaunnya terus menjadi perkara misteri dan SPRM tidak pun mengambil perkara itu sebagai asas. Sebab apa, sebab Najib adalah perdana menteri orang yang bertanggungjawab menunjukkan individu (Dzulkifli) untuk berada di kemuncak suruhanjaya itu.
Lainlah kalau Zahid sudah turun dari kerusinya itu dan dia pula berpaling tadah menyerang Najib, untuk bersama pembangkang, baharulah SPRM berani dan mungkin tidak memerlukan apa-apa asas untuk menyiasat Zahid.
Hal ini sudah pun dilalui Zahid semasa dia menjadi ketua pemuda Umno dan menyokong Anwar Ibrahim dahulu di mana ketika itu Dr Mahathir adalah perdana menteri. Zahid yang kedudukannya jauh lebih rendah dari kedudukan hari ini tidak dilindungi oleh kuasa politik partinya.
Read More / Baca Lagi >>