Disebalik pergerakan politik dibawa DAP, parti itu sebenarnya mempunyai agenda mahu merubah Malaysia menjadi negara sekular apabila menzahirkan sikap anti Islam dan menghalang pelaksanaan urusan agama Islam, tetapi bersekutu dengan peranan dan doktrin politik oleh pihak Evangelis Kristian.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerjasama dengan DAP sebelum ini adalah atas tanggungjawab dan keterbukaan dakwah, sesuai dengan peranan PAS yang membawa mesej Islam, tetapi hari ini hubungan tersebut telah putus kerana dari segi politik, parti tersebut telah membawa kerugian kepada Islam.
“Selepas daripada keputusan PRU-13 (lalu), DAP menunjukkan sikap anti Islamnya. DAP beri amaran kepada PAS, kalau PAS nak terus dengan Pakatan Rakyat, jangan bercakap soal perlaksanaan syariat, hudud, qisas, Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan, jangan bercakap.
“(Tetapi) Kita PAS, kita lebih sayangkan Islam daripada hubungan politik ini, (maka) kita putus dengan DAP. Hari ini PAS mengambil sikap bersendirian dan kita bentuk satu gagasan baru,” ujarnya pada program Sembang Santai di Felda Bukit Batu, di sini baru-baru ini.
Tegas beliau, PAS dari dahulu mengambil sikap yang boleh memberi keuntungan kepada Islam dan umatnya, serta ke arah meneguhkan kekuatan politik Islam termasuk bersetuju penyertaan dalam Kerajaan Persekutuan bersama parti Perikatan yang diketuai Umno selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Tetapi katanya, Umno sendiri yang telah menyebabkan kelemahan kepada politik Islam dan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga telah menendang keluar PAS serta bersikap tutup pintu, selain mengadakan bermacam-macam polisi untuk memastikan PAS tidak mara dalam pilihan raya.
Antaranya jelas beliau, apabila Mahathir bertindak mengekalkan jumlah kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu Islam, tetapi memperbanyakkannya di negeri lain menyebabkan kuasa politik Islam semakin lemah apabila jumlah kerusinya di Parlimen semakin kecil dan tidak lagi mencapai majoriti dua pertiga.
Sedangkan bentang Ustaz Khalil, pada setiap kerusi Parlimen yang ditandingi calon Islam itu mempunyai atau melibatkan hampir 100,000 pengundi, di mana berbeza dengan kerusi baharu diwujudkan hanya terdapat sekitar 20,000 pengundi dengan diwakili calon bukan Islam.
Read More / Baca Lagi >>