Presiden Pas, Hadi Awang menyalahkan jawapan Tun Mahathir Mohamad yang tidak memuaskan hati mereka yang hadir sebagai punca berlakunya kekecohan dalam program Nothing To Hide 2.0, Ahad lalu.
Kata beliau, tragedi berdarah pada 1985 itu memberi kesan kepada Pas kerana seorang pemimpinnya, Ibrahim Mahmud turut terkorban dalam kejadian itu.
Untuk makluman Hadi Awang, Tun Mahathir hanya memberikan jawapan dari segi persepektif tindakan polis dan kerajaan berdasarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika kejadian itu berlaku.
Tetapi, Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap polis pada waktu kejadian ialah Tun Musa Hitam.
Pada awalnya, dilaporkan Tun Mahathir berada di luar negara ketika itu, namun Tun Musa dalam bukunya, Frankly Speaking mendedahkan bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di dalam negara ketika tercetusnya peristiwa Memali.
Soalnya, apakah hanya kerana Tun Mahathir berada di dalam negara, kesalahan mesti diletakkan sepenuhnya ke atas bahu beliau?
Apakah Tun Musa yang menjadi Menteri Dalam Negeri terlepas sama-sekali daripada pertanggungjawaban semata-mata kerana Tun Mahathir berada di dalam negara?
Adakah kerajaan dan pihak polis saja yang bersalah sepenuhnya dalam peristiwa Memali itu?
Dalam konteks Memali, sejak dahulu lagi sudah ada dakwaan dan cakap-cakap yang meluas bahawa dikatakan sebab lain terjadinya peristiwa tersebut ialah kerana sikap fanatik Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan para pengikutnya yang begitu totok memusuhi UMNO dan kerajaan dan ianya didakwa berpunca daripada Amanat Hadi sendiri yang dilafazkannya pada 1981.
Bolehkah Hadi menjelaskannya secara jujur dan tanpa berselindung perkara itu?
Nothing To Hide 1.0 pernah diadakan tidak lama dulu dan dianjurkan oleh sebuah NGO, tetapi Najib membatalkan kehadiran di saat-saat akhir sebaik mengetahui Tun Mahathir turut sama menghadirinya.
Akhirnya hanya Tun Mahathir seorang yang hadir dan diberi kesempatan berucap sebelum diarahkan oleh pihak polis menghentikan ucapannya.
Read More / Baca Lagi >>