Gabungan Anwar, Mahathir gempur Putrajaya infomalay12.blogspot.com

Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara yang dirosakkan oleh pentadbiran pimpinan BN dan Umno melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.
Pakatan Harapan dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi PRU14 dalam membentuk kerajaan.
Menurutnya, oleh itu, Pakatan Harapan menyenaraikan enam matlamat bagi membentuk pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbirurus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat.
"Matlamat itu adalah menurunkan kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai Datuk Seri Najib Razak. Kedua, memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.
"Ketiga, membatalkan dan memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadaikan kepentingan rakyat di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB, membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik.
"Seterusnya, reformasi undang-undang dan institusi yang telah disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa Perdana Menteri; dan menghadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja," katanya.
Justeru, sebagai tanda kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik, Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju menerima struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu iaitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum.
Katanya, pengerusi pula adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.
"Manakala, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu adalah timbalan presiden. Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub menjadi naib presiden," katanya.
Selain itu, Datuk Saifuddin Abdullah pula dilantik sebagai ketua setiausaha dan M Kula Segaran sebagai bendahari.
Jelasnya, sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut iaitu menghapuskan GST, menstabilkan harga petrol, memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat, memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh, memerangi rasuah hingga ke akar umbi, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB dan memulihkan Felda.
"Pakatan Harapan memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan.
"Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, akan membolehkan beliau (Anwar) kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya," katanya.
 

Subscribe to receive free email updates: