Bidang kuasa eksekutif PH perlu diperhalusi, kata penganalisis infomalay12.blogspot.com



Struktur jawatan tertinggi dalam Pakatan Harapan yang diumumkan semalam, masih dilihat kurang jelas antara pemegang kuasa eksekutif dan bukan eksekutif seolah-olah ia seakan mengikuti sistem sosialis, kata Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali.
Beliau berkata, kuasa eksekutif perlu didalami dan dibuat penilaian dari semasa ke semasa oleh Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum akan datang.
"Berdasarkan kepada  organisasi yang ada, saya melihat jawatan 'ketua umum' lebih kepada peranan sebagai 'de facto' dalam parti politik.
"Jawatan pengerusi dan presiden dilihat bertindih dan kurang jelas peranannya.
"Dalam sistem sosialis, jawatan pengerusi dilihat seperti jawatan bukan eksekutif manakala jawatan presiden dari segi amalan parti-parti politik demokrasi di Malaysia  pula adalah merujuk kepada jawatan eksekutif," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau diminta mengulas kenyataan menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini yang mempertikaikan bidang kuasa tiga jawatan tertinggi pakatan pembangkang itu.
Ditanya adakah wajar Pakatan Harapan menstrukturkan barisan kepimpinan sebagaimana BN,  Dr Mazlan berpandangan tidak wajar untuk Pakatan Harapan mencontohi organisasi BN namun hirarki dalam Pakatan Harapan mesti menunjukkan bidang kuasa yang lebih jelas.
"Ia harus dilihat mampu memterjemahkan ke dalam susunan yang sesuai dalam kabinet kelak.
" Misalnya siapakah sebagai Perdana Menteri,Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menterinya.
"Namun hirarki yang ada kini kelihatan sudah memadai, memandangkan struktur politik dalam gabungan parti-parti pembangkang berbeza dengan yang wujud dalam BN," jelasnya.
Menurut Dr Mazlan lagi, pembentukan barisan kepimpinan Pakatan Harapan adalah satu bentuk "kompromi" antara beberapa pihak membabitkan PKR,DAP,Amanah dan Bersatu di dalam gabungan Pakatan Harapan.
Ia dilihat sebagai langkah mengukuhkan kedudukan pakatan untuk memberi fokus terhadap Pilihan Raya Umum ke-14.
Jelasnya, selepas perpecahan Pakatan Rakyat, gabungan parti pembangkang menghadapi kebuntuan untuk membentuk gabungan baharu yang setara sebelumnya.
Meskipun Pakatan Harapan dibentuk selepas itu yang menggabungkan PKR, DAP dan Amanah, namun gabungan ini tiadanya konsensus dalam kepimpinan PKR yang masih melihat Pas sebagai sebuah parti politik yang menjadi tunjang kekuatan pembangkang untuk menumbangkan BN.
Katanya, sikap Pas yang dilihat tidak konsisten dan cenderung membentuk gerakan politik yang bebas daripada BN atau Pakatan Harapan terus mencetuskan ketidakstabilan dalam Pakatan Harapan.
"Penyertaan Bersatu kemudiannya, walaupun dijangka mengukuhkan Pakatan, namun ia juga mencetuskan kemelut baharu dalam perkara penentuan kepimpinannya.
"Faktor terpenjaranya Anwar dan menonjolnya kepimpinan Dr Mahathir dalam pembangkang telah mencetuskan polemik baharu dalam Pakatan Harapan.
" Dr. Mahathir jelas dilihat mendapat sokongan meluas sebagai pemimpin utama Pakatan Harapan sama ada dari partinya sendiri mahupun dari DAP dan Amanah," terangnya.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: