Parti Amanah Negara (Amanah) akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan melanjutkan perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Timbalan presiden Salahuddin Ayub berkata, tindakan kerajaan yang tidak mengikut Perlembagaan itu tidak pernah berlaku dan telah mengheret Malaysia sekali lagi ke dalam krisis Perlembagaan baharu.
Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri berkata Raus akan terus memegang jawatan ketua hakim negara untuk tempoh tiga tahun lagi mulai 4 Ogos manakala Zulkefli akan terus berkhidmat sebagai presiden Mahkamah Rayuan untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.
Mereka dijadual bersara apabila usia mencecah 66 tahun ini.
Kerajaan berkata keputusan mengekalkan Raus dan Zulkefli dibuat mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.
Salahuddin berkata, Najib cuba berselindung di bawah Perkara 122 (1A) bagi mewajarkan pelantikan Tan Sri Raus.
"Ironinya, semua maklum bahawa sebelum ini kerajaan sudahpun melanjutkan pelantikan Tan Sri Raus sebagai Ketua Hakim Negara setelah umur beliau mencecah 66 tahun dan lanjutan itu hampir tamat tempoh, dan sekali lagi beliau dilanjutkan perkhidmatan.
"Tambahan lagi, kerajaan juga menyebut pelantikan Tan Sri Raus bagi tempoh tiga tahun lagi dibuat di bawah Perkara 122 (1A) sedangkan Perkara 122 (1A) hanya memperuntukan kuasa Yang Di-pertuan Agung (YDPA) melantik hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.
Read More / Baca Lagi >>