Beliau berkata individu yang dimaksudkan ialah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin de facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
"Bukan maksud saya apabila kita menyatukan rakyat, semua akan beri sokongan kepada BN, tetapi sekurang-kurangnya tidaklah seperti mana hari ini di mana suasana politik Malaysia sangat penuh dengan keracunan, kebencian dan hasutan yang sebenarnya datang daripada tiga tokoh ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Wangsa Maju, di ibu negara hari ini.
Katanya Kit Siang pula bertindak menanam pemikiran sempit dalam kalangan masyarakat Melayu yang boleh membawa kepada perpecahan antara Melayu dan Cina.
Justeru kata Khairy ketiga-tiga individu terbabit harus memberi peluang kepada generasi muda daripada parti masing-masing supaya 'masalah lama’ sejak 20 hingga 30 tahun lepas tidak dibawa ke masa depan.
"Berilah peluang untuk kita bertanding dalam keadaan aman dan bersaing dalam keadaan sihat," katanya.
Sementara itu Khairy berkata pemimpin Umno perlu menerapkan budaya ‘5C’ iaitu ‘clean’ (bersih), ‘competent’ (cekap), ‘compassionate’ (berbelas kasihan), ‘contemporary’ (kontemporari) dan ‘competitive’ (kompetitif) supaya parti itu terus mendapat sokongan khususnya daripada sesetengah orang Melayu yang berasakan mereka tidak lagi memerlukan Umno.
"Ini mungkin kerana mereka tidak mendapat apa-apa daripada kerajaan atau perjuangan Umno atau mungkin mereka dapat (faedah), tetapi berasakan mereka hebat atas sebab diri mereka sendiri.
"Mereka nak tengok pada nilai, ketrampilan, komitmen kita dan kecekapan kita. Ini politik pascamoden dan mereka mungkin tak perlu apa-apa tetapi kita perlukan mereka," katanya.