Pensyarah Kanan dari Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, parti gabungan harus mempertimbangkan jawatan tertinggi dalam barisan kepimpinan Pakatan Harapan itu diberikan kepada seorang pemimpin yang dilihat menjadi ikon dan simbol kepada rakyat masa kini.
"Amat perlu dipertimbangkan juga tokoh yang disusun dalam carta organisasi mempunyai sejarah dan impak masa kini.
"Walaupun Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) masih dalam penjara kita tidak nafikan sebagai ikon politik dan simbol pada pembangkang.
"Walaupun Tun M dulu BN dan sekarang menentang BN, parti gabungan tidak boleh meletakkan Tun M ke tepi.
"Tun M seorang tokoh yang lama dalam politik dan kita lihat masa kini dia menunjukkan kewibawaannya memimpin yang mana mampu menyatukan ahli partinya (Umno) dalam gerakan rakyat untuk menyertai gerakan pembangkang," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam, yang dipetik berkata, DAP tidak bersetuju dengan cadangan dua jawatan tertinggi gabungan itu dipegang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ini kerana tersebar dakwaan kononnya Bersatu mencadangkan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi dan presiden Pakatan Harapan.
Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sebagai penasihat Pakatan Harapan.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan pengerusi, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden, serta Lim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai naib presiden.
Dr Mazlan berkata, Pakatan Harapan harus menunjukkan kompromi yang baik dan lebih fokus kepada mewujudkan satu gabungan parti dalam gerakan yang kuat dengan menonjolkan pemimpin yang lebih relevan masa kini.
"Selama ini Anwar menjadi simbol kepada perjuangan pembangkang, namun sebaliknya PPBM melihat pada keadaan semasa, Anwar tidak dapat memainkan peranannya untuk mengerakkan Pakatan Harapan sedangkan sepatutnya pada masa ini gabungan parti perlumemfokuskan kepada satu gerakan yang kuat untuk menyakinkan rakyat.
"Meletakkan Wan Azizah sebagai timbalan pengerusi, Tun M pengerusi dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden walaupun ia tidak sempurna dilihat DAP, sebenarnya ia satu permulaan yang baik oleh Pakatan Harapan yang akan dilihat oleh rakyat.
"Saya lihat satu bentuk kompromi yang baik perlu ditonjolkan dan dipertimbangkan parti gabungan untuk menyusun carta organisasi Pakatan Harapan yang jitu," tegasnya.
Read More / Baca Lagi >>