TETAPI kalau libatkan kuncu2 Umno/BN KERAjaan TERUS JADI BISU.. KENAPA?
Masa membangkang sudah berakhir, fokus dasar kerajaan baru – Tun M
Zaman pembangkang sekadar mengkritik tanpa membincangkan secara serius penyelesaian bagi masalah negara sudah berakhir, kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebagai ‘kerajaan menunggu’, kata beliau, HARAPAN perlu membentangkan dasar yang akan dibawa gabungan itu serta mengentengahkan pelbagai langkah yang akan dilakukan mereka jika berjaya menawan Putrajaya kelak.
“Pakatan Harapan tidak boleh bergantung atas kesilapan dan kelemahan Datuk Seri Najib Razak semata,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada sidang medianya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Sehubungan itu, mantan perdana menteri itu hari ini melancarkan program ‘HARAPAN BARU: Policy Talks’ yang akan membincangkan antaranya mengenai draf manifesto HARAPAN, selain mendengar pandangan dan cadangan daripada rakyat.
“Melalui ‘HARAPAN BARU: Policy Talks’ ini juga, saya akan mengimbau pengalaman dan dasar di bawah pentadbiran saya yang bersesuaian untuk dikongsi dan diguna pakai bagi menghadapi cabaran semasa,” ujarnya.
Antara topik yang akan disentuh, katanya menjurus kepada kelompok penjawat awam, pesara serta golongan muda dan wanita.
Selain itu, katanya, ‘HARAPAN BARU: Policy Talks’ juga akan membincangkan mengenai isu ekonomi bumiputera, kos sara hidup, rasuah, peluang pekerjaan, kedaulatan negara dan lambakan pekerja asing.
“Ini adalah antara topik yang mana akan saya bincangkan dan ketengahkan yang bakal menjadi antara agenda perubahan kerajaan Pakatan Harapan nanti,” ujarnya yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
‘HARAPAN BARU: Policy Talks’ akan diadakan setiap minggu bermula minggu hadapan dengan menggunakan pelbagai medium antaranya media sosial, program dan perbincangan dua hala seperti ‘town hall’. – Roketkini.com