Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Pahang menyediakan 500 kilogram (kg) ikan segar sejuk beku Q'Fish untuk diagihkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini.
Pengarah LKIM Negeri Pahang, Rashima Baharuddin berkata, setakat ini 200 kg ikan sejuk beku Q'Fish sudah diserahkan di beberapa PPS termasuk di Rompin dan Kuantan.
Menurutnya, ikan kembung itu diberikan untuk dimasak kepada mangsa banjir yang berada di PPS.
“LKIM turun padang ke daerah yang dilanda banjir untuk mengagihkan bantuan ini di PPS terpilih.
“Saya harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan mangsa banjir di PPS yang ada,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, semalam.
Hadir sama, Adun Panching, Dato' Mohd Zaili Besar.
Rashima berkata, ekoran cuaca yang buruk, pendaratan ikan juga turut terjejas teruk dan kesannya adalah harga ikan di pasaran yang turut meningkat.
Katanya, bagi untuk mendapatkan ikan segar dengan harga yang berpatutan pengguna boleh beralih kepada ikan sejuk beku keluaran LKIM dengan jenama Q'Fish adalah alternatif yang menarik.
“Ikan yang banyak didaratkan masa sekarang ialah dari spesies ikan kerisi dan yang banyak dijual di pasaran ialah ikan sejuk beku yang diimport.
“LKIM menjamin ikan sejuk beku Q'Fish adalah segar kerana ikan dinaikkan dari jeti terus di sejuk bekukan mengguna teknik IQF (Individualy Quick Frozen),” katanya.