KPM arah siasatan kes murid gantung diri akibat tekanan oleh guru di sekolah infomalay12.blogspot.com

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) menjalankan siasatan dalaman, berhubung dakwaan seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di sini, membunuh diri kerana tekanan di sekolah.

Pengarah JPNPP, Abdul Rashid Abdul Samad, berkata pihaknya maklum dengan kes itu dan kini dalam proses mengumpul maklumat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya, siasatan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Kita sedang kumpul maklumat untuk mengetahui punca sebenar kejadian bagi tujuan siasatan dalaman,” katany di sini, hari ini.

Selasa lalu, pelajar berkenaan, S Logamitraa,16, ditemui tergantung di kipas siling dalam bilik dengan kain selimut terikat pada lehernya oleh ibu mangsa, kira-kira jam 6.15 petang.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia, tiga jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid yang mengesahkan kejadian berkata, temubual bersama ibu mangsa memaklumkan anak lelakinya itu tidak menunjukkan sikap pelik sebelum kejadian.

“Mangsa adalah anak sulung daripada dua beradik. Ibunya berniaga pakaian secara dalam talian manakala bapanya baru berhenti kerja.

“Sebelum kejadian, wanita itu memberitahu ada mengetuk pintu bilik mangsa berulang kali tetapi tiada respon.

“Dia kemudian membuka pintu bilik itu menggunakan kunci pendua dan menemui anaknya dalam keadaan tergantung di kipas siling dengan lehernya diikat kain selimut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui unsur jenayah dan bedah siasat mengesahkan, mangsa meninggal dunia kerana menggantung diri berikutan terdapat lebam pada lehernya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada keluarganya bagi tujuan pengebumian.

Sementara itu, Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel yang mewakili keluarga mangsa, mendakwa pelajar terbabit bertindak demikian kerana tertekan dengan pihak sekolah yang tidak membenarkannya permintaannya untuk menukar kelas.

Selain itu, beliau mendakwa mangsa merasakan dirinya dimalukan apabila didenda memakai seluar pendek selepas dia ditahan oleh seorang guru kerana memakai seluar panjang ketat ke sekolah.

Malah, dakwanya lagi guru berkenaan juga dikatakan pernah merampas rantai kunci milik mangsa kerana ia tajam dan mendatangkan bahaya.

“Mangsa pernah menyuarakan hasrat bertukar kelas kepada ibu bapanya dan perbincangan juga pernah dibuat bersama pihak sekolah namun, diberitahu perlu buat permohonan terlebih dahulu selain melihat kepada prestasi dalam peperiksaan.

“Ibu bapanya juga ada memujuknya untuk tingkatkan pembelajaran sebelum dapat berpindah kelas,” katanya.

Difahamkan mangsa ditempatkan di dua kelas terakhir dan meminta untuk dipindahkan ke kelas yang lebih baik.

David berkata, pihaknya dan keluarga remaja itu kesal dengan kejadian terbabit dan berharap, tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membela nasib mangsa.

Subscribe to receive free email updates: