Aplikasi Pahang Go yang bertujuan untuk memudahkan rakyat membuat pelbagai pembayaran bil dan cukai selain memuatkan info-info berkaitan negeri ini akan dilancarkan dalam 'soft launch' 23 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, 'Soft Launch' aplikasi berkenaan dijangka akan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada hari yang sama.
Menurutnya, aplikasi ini adalah sebuah platform yang akan menjadi 'one stop centre' kepada semua servis yang digunakan oleh rakyat negeri ini termasuk pembayaran bil, pembayaran parking dan hebahan informasi terkini.
“Dengan aplikasi ini nanti akan menjimatkan lagi masa rakyat di negeri ini untuk membayar bil utiliti dan cukai selain mendapat info-info berkaitan negeri ini",
"Aplikasi ini adalah untuk memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mereka membayar cukai taksiran dan pelbagai pembayaran lain yang membabitkan urusan dengan kerajaan negeri dengan lebih cepat dan mudah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar 5G: Beyond Imigination di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) di Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UCYP, YH. Profesor Emeritus Dato' Dr. Ahmad Zainuddin.
Dato' Mohammad Fakhruddin berkata, Pahang adalah negeri pertama di Malaysia mempunyai aplikasi yang merangkumi kesemuanya termasuk info negeri, pelancongan, pembayaran bil dan pembayaran cukai.
"Aplikasi ini bole dimuat turun mulai 23 Oktober ini selepas majlis 'Soft Launch' itu namun majlis perasmian sebenar adalah pada Januari tahun hadapan," katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji langkah UCYP yang melaksanakan program ini kerana secara tidak langsung dapat memberi maklumat awal mengenai pembangunan 5G di negeri ini.
"Kerajaan Negeri juga sudah mula mengkaji tentang teknologi yang pantas ini serta mengikut potensi 5G untuk pembangunan aplikasi-aplikasi yang akan lebih memudahkan rakyat," katanya.