Isu Dewan Rakyat ‘kosong’ seolah-olah tidak dipandang serius oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila pada sidang kali ini terutama pada sesi perbahasan Belanjawan 2020 kehadiran menteri dan timbalannya dipertikai, malah ianya turut mendapat teguran daripada Ahli Parlimen mereka sendiri apabila Hassan Abdul Karim bangun mencelah bertanyakan perkara terbabit.
Ditemui luar Dewan, Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah berkata seharusnya kehadiran menteri dan timbalan menteri cukup penting pada perbahasan berkenaan.
“Kehadiran menteri dan timbalan menteri amat penting walaupun yang membentangkan adalah Kementerian Kewangan. Ini tidak bererti tidak ada bajet-bajet yang melibatkan kementerian-kementerian lain dan ini adalah pembentangan Bajet 2020 milik kerajaan PH dan ianya dinaungi oleh semua kementerian.
“Kalau tidak menteri, timbalan menteri perlu ada, tetapi nampak jelas ketidakseriusan yang menganggap bajet ini semata-mata untuk memenuhi keperluan rakyat tetapi tidak memahami aspirasi rakyat. Wakil rakyat berusaha mendapatkan suara rakyat ke Parlimen tetapi akhirnya menteri-menteri tidak mahu mendengar, hanya mahu percaya catatan yang dibuat mungkin oleh pegawai… menteri dan timbalan menteri harus memahami bagaimana keluh kesah rakyat yang dibawa oleh wakil rakyat dan itu paling penting,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar pula melihat perkara berkenaan telah pun dibangkitkan oleh pembangkang namun kali ini ianya masih berlaku.
“Tadi saya tengok Ahli Parlimen PH sendiri pun bangkit meluahkan rasa tidak puas hati dan bagi pihak pembangkang kita selalu bangkitkan isu ini dan nampaknya tidak mendapat apa-apa perhatian daripada pihak kementerian.
“Kita harap selepas ini kalau suara dalam Dewan Rakyat disuarakan oleh Ahli Parlimen mereka sendiri… dan kalau itu tidak diendahkan oleh kerajaan PH… bagaimana kita nak jangka mereka mahu mendengar masalah rakyat di bawah sana sedangkan di dalam parlimen pun tidak dengar… tambahlah suara rakyat yang menderita di bawah tentu tidak akan mengambil perhatian,” katanya.
Katanya lagi jika menteri sibuk sekalipun sekurang-kurangnya timbalan menteri perlu mendengar apa yang diungkapkan oleh Ahli Parlimen.
“Daripada amalan kita dulu BN memerintah apabila sentuh tentang bajet apabila secara umum… ini yang jawapannya akan dijawab oleh menteri kewangan dan ini peringkat asas peringkat dasar. Kalau sepatutnya menteri kewangan sibuk sekurang-kurangnya timbalan menteri mesti kena dengar apakah luahan dan keluhan yang dibuat oleh Ahli Parlimen.
“Memang tidak dinafikan bahawa pegawai-pegawai ambil nota yang kita cakap tetapi tidak sama dengan apa yang kita dengar sendiri dengan apa yang kita terima laporan. Dua benda berbeza. Jadi kalau kerajaan ini kerajaan prihatin kepada rakyat, kalau tidak menteri atau timbalan menteri duduk di dalam dewan sehingga selesai ucapan daripada Ahli Parlimen,” ujarnya.