Pengerusi Gerakan TUNTUT, A’zlan Abu Bakar merasa kesal kerana bakal Perdana Menteri Kelapan (PM8) yang digembar-gemburkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menerima sendiri dokumen memorandum daripada mereka.
Jelasnya, tujuan TUNTUT hanya mahu menyuarakan suara rakyat dan memberikan dokumen agar bakal PM8 itu memahami rintihan rakyat marhaen.
”Kami dimaklumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan menerima memorandum ini tapi penantian itu satu penyeksaan.
“Justeru kami mengambil keputusan untuk masuk sendiri bagi membuat penyerahan dokumen.
“TUNTUT kesal kerana ternyata ‘hero rakyat’ (Anwar Ibrahim) tidak mahu berjumpa kami walaupun hanya lima minit untuk mendengar keluhan rakyat, tidak apa, … tidak mengapa;” katanya dalam satu kenyatan media, hari ini.
Petang semalam, perarakan TUNTUT sepanjang hampir 700 meter menuju ke hadapan Parlimen Malaysia bertujuan hanya ingin menyuarakan suara rakyat melalui corong-corong pembesar suara, katanya lagi.
Tambahnya, pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak peka dan cakna mendengar keluhan rakyat yang inginkan subsidi petrol dikembalikan.
“Namun demikian, berlaku pergelutan antara kami dan pihak polis.
“Sekelip mata, kami dirempuh oleh pasukan FRU polis. Mereka menghalang kami daripada masuk.
“Apakah salah kami dilayan sebegini rupa? Soalnya.
Mengulas lanjut, A’zlan berkata selepas dirempuh, ada antara mereka yang terjatuh dan akhirnya wakil TUNTUT dibenarkan masuk untuk berjumpa dengan Anwar selepas pergelutan dengan pihak berkuasa tetapi Presiden PKR itu masih enggan menemui mereka.
“TUNTUT bukanlah peminta sedekah… kami hanya perjuangkan suara rakyat dan kerajaan tolonglah jangan bertindak zalim kepada rakyat,” tegasnya.