BUBAR SAHAJA PARLIMEN
-Pak Karamu-
PH beritahu Hishammuddin henti kempen kerajaan tanpa DAP, Amanah
PETALING JAYA: Majlis setiausaha Pakatan Harapan menggesa pemimpin Umno Hishammuddin Hussein dan rakan-rakan menghentikan kempen mereka yang cuba mengajukan idea kerajaan tanpa DAP dan Amanah.
Ketua Setiausaha Saifuddin Abdullah berkata, kecenderungan kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum adalah “politik usang” yang bercanggah sama sekali dengan politik “inklusif” yang dipelopori PH.
“Sebarang cubaan ‘nakal’ untuk mengembalikan politik sedemikian setelah kita menggerak perubahan pada 9 Mei tahun lalu adalah langkah terkebelakang yang tidak akan dirakam hatta di nota kaki sejarah sekalipun.
“Bahkan ia memberi peluang kepada para kleptokrat dan kuncu-kuncu mereka untuk kembali bertakhta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia ditandatangani bersama empat setiausaha komponen gabungan itu, iaitu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PPBM Marzuki Yahya, Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook.
Saifuddin berkata PH berpegang kepada muafakat yang dipersetujui PKR, PPBM, Amanah, dan DAP, dan kerjasamanya dengan Warisan.
Muafakat itu, katanya, menggariskan beberapa perkara teras yang menjadi faktor pemersatu yang menghimpunkan parti-parti komponen PH dan rakyat untuk menolak kerajaan Barisan Nasional, politik perkauman dan kleptokrasi.
“Itulah asas kepada mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14; dan amanah itu tidak wajar dicagarkan demi kepentingan politik,” katanya.
Sebelum ini di Dewan Rakyat, Presiden PKR Anwar Ibrahim memetik nama Hishammuddin ketika menjawab pertanyaan pembangkang mengenai pelan peralihan kuasa PH.
Anwar meminta wakil rakyat pembangkang jangan ikut jejak Hishammuddin dan “strategi karut”.
“Sama ada didakwa di mahkamah, diugut mahupun dipenjara, prinsip jangan digadai. Beritahu Sembrong.”
Anwar bagaimanapun tidak menghuraikan lebih lanjut tentang “strategi karut” itu.