Apabila membaca kenyataan PM di Fukuoka Jepun bahawa Malaysia tidak boleh ‘menghalau’ Lynas setelah menjemput syarikat perlombongan nadir bumi itu melabur di negara ini, jelas memperlihatkan betapa pimpinan Kerajaan PH ‘hipokrit’ dan ‘cakap tidak serupa bikin’, bidas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Soal beliau, mana Lim Guan Eng, Fuziah Salleh, Wong Tack dan mana pejuang-pejuang Lynas yang lain?
“Kajian pakar menunjukkan bahawa sisa radioaktif ‘pada tahap sangat rendah’ dan tidak berbahaya kepada kesihatan bukan baru dilakukan kerana pada waktu BN dahulu sudah dimaklumkan perkara ini.
“Namun pejuang-pejuang Lynas dari Pakatan Harapan (PH) menafi dan memutar belitkannya dengan kenyataan pakar dikatakan tidak benar namun sekarang bagaimana?
“Justeru itu, apabila Dr Mahathir berkata ada pihak tidak terima keputusan pakar yang membuat laporan tersebut, maka, saya ingin ingatkan bahawa yang tidak menerimanya dahulu ialah pimpinan PH sendiri. Cuma kini mereka telah u-turn,” tegas beliau dalam kenyataan yang disiarkan melalui facebook beliau.
Namun, katanya, YB Fuziah Salleh, masih terus mengelirukan rakyat apabila mendakwa Kerajaan PH tidak boleh menutup kilang Lynas kerana tersepit akibat hutang kerajaan dahulu dengan Jepun.
“Fuziah Salleh adalah pelakon terbaik Lynas. Ramai menonton filemnyakan?
“Sedangkan di zaman Najib Razak, BN tidak membuat hutang baru dengan Jepun. Hutang yang ada adalah dibuat pada zaman Dr Mahathir dan dilunaskan pada zaman Najib Razak.”
Persoalannya, kata beliau kenapa Malaysia perlu membuat pinjaman Bon Samurai sebanyak RM7.3 bilion dari Jepun?
“Sedangkan sejumlah RM80 bilion sudah ‘diambil’ dari Petronas dan sekitar RM120 bilion lagi dari pelbagai ‘institusi dalaman’. Hingga kini hutang Malaysia telah mencecah RM807 bilion berbanding RM686.8 bilion sewaktu ditinggalkan BN.
“Hakikatnya, rakyat sudah muak dengan PH. Kerajaan ini layak dipanggil ‘Kerajaan 1001 alasan’.
“Rakyat mahu penyelesaian dan janji ditepati.”
Katanya, jika betul kilang Lynas bermasalah sebagaimana kempen PH dalam PRU14, maka tutup sahajalah kilang itu.
“Dan kenapa tidak melakukannya? Sebaliknya PH terus menipu dan meletakkan kelemahan mereka kepada orang lain. Ternyata, PH fitnah,” bidas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong.