Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim melihat satu pemikiran yang tidak baik berlaku di kalangan Dap terutamanya yang suka membuat serangan dan kemudiannya mengambil tindakan meminta maaf.
Contohnya ujar beliau beberapa kenyataan yang telah dikeluarkan sebelum ini yang akhirnya memohon maaf setelah mendapat kecaman pelbagai pihak seperti kenyataan ‘Melayu pendatang’ dan sebagainya lagi.
“Contoh kata askar yang majoritinya Melayu kita lihat dikatanya makan dan tidur… ini satu penghinaan… kemudiannya minta maaf… dulu kata Melayu ini pendatang, mana boleh di zaman moden ini tuduh Melayu pendatang… selepas itu minta maaf.
“Apa sahaja yang mereka keluarkan ialah satu pendekatan iaitu untuk mengelirukan orang dan keduanya memecah-belahkan dan apabila berlaku pecah-belah begini kita semua ‘becempera’. Ini adalah satu perbuatan yang tidak baik yang boleh berlaku dalam sebuah negara yang ingin menuju kepada pembangunan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut melihat penghinaan kepada Utusan bererti penghinaan kepada perjuangan orang Melayu itu sendiri.
“Kalau hina Utusan bererti hina Melayu sebab Utusanlah yang bersama dengan kehidupan orang Melayu, yang sama-sama menuntut kemerdekaan pada masa lepas dan kita berjaya menuntut kemerdekaan serta kita berjaya membangunkan negara ini bersama Utusan,” tambahnya.
Pada masa yang sama beliau turut mengajak rakyat untuk sama-sama membuat penilaian berhubung pembangunan serta keadaan ekonomi negara hari ini.
“Pembangunan yang macam mana dalam keadaan ekonomi yang tidak diurus dengan baik, pasaran saham telah kerugian lebih RM200 bilion, kerajaan sekarang berhutang RM100 bilion lebih, duit Petronas lagi, kemudiannya jual harta lagi….
“Ke mana duit ini pergi sedangkan kita tidak dapat apa yang kerajaan Barisan Nasional (BN) berikan sebelum ini. Pada masa yang sama kita lihat perbelanjaan dibuat lebih besar daripada kerajaan lepas, berhutang pula lebih besar, bayangkan kalau setahun lebih dah pinjam lebih RM180 bilion, saya ingat dalam masa lima tahun mungkin boleh berhutang sehingga RM600 bilion lebih.
“Padahal kerajaan BN hanya berhutang RM686 bilion dalam masa 60 tahun. Ini tidak sampai dua tahun sudah berhutang RM100 lebih dan ambil duit Petronas lagi. Jadi ini satu benda angkara ekonomi yang dahsyat yang patut dilihat oleh rakyat dan diberi penilaian,” ujarnya.
Untuk rekod, selepas dikecam pelbagai pihak, Naib Presiden Dap, M Kula Segaran membuat keputusan untuk menarik balik kenyataan kontroversi dikeluarkannya dalam satu ucapan di Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia itu, beliau mendakwa menarik balik kenyataan itu kerana enggan kontroversi itu terus membarah.
Malah, beliau juga meminta maaf dan mengatakan sebelum ini beliau tidak pernah mencipta kontroversi dengan mempertikaikan perbezaan kaum dan agama di negara ini.