Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hari ini dilihat cukup berkecamuk dan tidak stabil adalah kerana tindak-tanduk mereka sendiri dan ianya sekaligus membuka ruang kepada pembangkang untuk mengorak langkah seterusnya.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata sesebuah kerajaan yang naik atas dasar fitnah percayalah mereka juga akan ‘dimakan’ fitnah berkenaan satu hari nanti.
“Kita percaya dan pastinya kepincangan yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada mereka sendiri, malah segala fitnah sebelum ini akan ‘memakan’ mereka pada satu hari nanti.
“Jika diperhatikan dan diperhalusi selepas 15 bulan bagaimana mereka tidak boleh bergerak sebagai sebuah kerajaan yang stabil… sebab naik dengan cara yang tidak betul dan ini memberi ruang kepada pembagkang untuk terus bergerak,” katanya kepada UMNO-Online.
Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang seterusnya berkata komitmen parti yang akan terus bergerak untuk membantu rakyat dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pembangkang akan diteruskan.
“Apa yang ditegaskan sebelum ini kekal dengan pembangkang dan akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang… dan kita pastikan dengan kerjasama bersama PAS serta rakan-rakan pembangkang lain akan memberi peluang yang sangat cerah untuk menang pada PRU akan datang.
“Kerjasama ini atas platform bersama dan menjadi misi kepada kemajmukan negara serta percaya kita akan menjaga semua kaum dalam membangunkan negara,” ujarnya.
Pada masa yang sama beliau turut menghargai seluruh pejuang parti yang berada di semua tempat khususnya di negeri Kedah.
“Pejuang-pejuang UMNO berada di semua tempat… walaupun tidak ada jawatan dan sebagainya itu tidak menandakan bahawa UMNO dan BN lemah di Kedah. Insya-Allah kita bersama-sama untuk melonjak naik dan insya-Allah akan menang pada PRU nanti,” tambahnya.