DODOL PERPADUAN UMMAH CHINI 2019 infomalay12.blogspot.com

Chini, Pekan, 08 OGOS 2019 -


Hampir 2000 orang penduduk sekitar Chini dan Pekan hadir memeriahkan program “Dodol Perpaduan Dun Chini 2019" yang diadakan di Dataran Felda Chini 2 disini, baru-baru ini.

Program yang bermula awal pagi itu melibatkan hampir 500 orang peserta yang terdiri daripada ahli UMNO dan PAS yang berjaya menyiapkan 47 kawah dodol dan diisi dalam beribu mangkuk diagihkan kepada penduduk sekitar Dun Chini.

Program ini turut melibatkan masyarakat kaum Asli dari sekitar Tasik Chini yang buat julung kalinya berjaya memasak dodol antara yang paling sedap di program itu.

Apa yang menarik, masyarakat Melayu dan Kaum Asli yang memakai baju merah sebagai lambang parti UMNO manakala baju hijau sebagai lambang parti PAS, sejak awal pagi berganding bahu, bantu membantu, mengacau dodol dan berjaya menyiapkan 47 kawah dodol yang kesemuanya enak dimakan.

Umat Islam terutamanya orang Melayu sememangnya telah lama menantikan perpaduan antara dua parti terbesar Melayu, UMNO dan PAS kerana ianya mendatangkan banyak kebaikan kepada agama, bangsa dan negara.

Seperti firman Allah (SWT),“Dan berpegang-teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu sebagai orang Islam bersaudara. Dan kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.(Aali Imran: 103)

Menurut ADUN Chini, Dato Seri Abu Bakar Harun,“ Perpaduan Ummah (umat Islam) sangat penting kerana ia tulang belakang kepada negara ini dan perpecahanya akan merugikan kepentingan Islam dan Melayu yang sekian lama terpelihara".

“Sudah tentu perpaduan umat Islam mesti didasarkan kepada ajaran Islam, bersatu atas dasar akidah dan merapatkan saf sesama Muslim, sayang menyayangi untuk mendaulatkan Islam dalam kehidupan seharian, hidup bernegara dan bermasyarakat".

Katanya lagi, “kita hendaklah memelihara diri kita daripada sifat ‘dendam dan kebencian’ apabila berasa selesa dan gembira melihat umat Islam berterusan berpecah dan sinis terhadap usaha menyatupadukan umat Islam".

“Apa yang berlaku di hadapan mata sama ada di luar atau dalam negara kini, membuktikan betapa benarnya firman Allah SWT, bahawa selagi umat Islam melakukan kemungkaran, melepaskan tangan mereka daripada terus memegang kemas ‘tali Allah’ serta melucutkan pegangan ‘tali persaudaraan sesama umat’, maka kehinaan akan terus menimpa mereka seperti umat terdahulu",

“Hari ini, kita dapat lihat apabila orang Melayu dan Islam di negara ini berpecah, bermusuhan  maka penghinaan terhadap agama Islam termasuk juga kepada Junjungan Besar Nabi kita, Muhammad (SAW) kini semakin menjadi-jadi, urusan umat Islam turut diganggu dan cuba dilumpuhkan oleh sesetengah pihak, ayuh marilah kita bangkit bertaut kembali demi Agama dan bangsa", Katanya lagi.

Program ini turut dihadiri, ADUN Beserah, YB Haji Andansura Rabu, YDP Pas Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf dan Ketua Pemuda Pekan, Dato Mohd Nizar Najib.

Ia merupakan acara tahunan di Chini dan bakal diperluaskan ke seluruh pelusuk negeri Pahang.

Sumber: Unit Komunikasi Multimedia Pahang

Subscribe to receive free email updates: