Sekolah di Kuantan diarah henti aktiviti memanah infomalay12.blogspot.com

Imej via Harian Metro
SEMUA sekolah di Kuantan diarah menghentikan serta-merta aktiviti sukan memanah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan Mohd Razali Mustafar berkata, arahan itu susulan kejadian anak panah tersasar dan terkena pintu sebuah kereta di Jalan Beserah, Kuantan, Rabu lalu.

Bagaimanapun, katanya, sebarang aktiviti yang membabitkan sukan memanah hanya boleh diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam.
“Ini kerana SK Sungai Talam memiliki kemudahan lapang sasar memanah yang dikhaskan untuk pelajar menjalani latihan.

“Dalam kes terbabit, tiada lagi kebenaran yang diberikan kepada sekolah yang ingin melakukan aktiviti sukan memanah kecuali di SK Talam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang pemandu kereta terkejut apabila menyedari anak panah melekat pada pintu penumpang sebelah kiri, ketika memandu di Jalan Beserah, Rabu lalu.

Tan Theam Lye, 62, berkata, insiden itu berlaku kira-kira 5 petang ketika bersama isterinya, Wong Sow Lan, 54, bersama adik dan bapanya melalui jalan berkenaan menghala ke Lorong Bukit Ubi.

Tan berkata, ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau, isterinya, Wong mendakwa terdengar bunyi dentuman kuat sebelum menyedari terdapat anak panah melekat pada pintu kereta dinaiki mereka.

“Kami bernasib baik kerana kejadian itu tidak mengakibatkan kecederaan kerana anak panah sepanjang kira-kira 50 sentimeter tidak menembusi pintu (kereta) kami.

“Anak panah itu dipercayai dari sekolah berhampiran kerana ketika itu sedang berlangsung latihan bagi acara sukan memanah dalam kawasan sekolah terbabit,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Subscribe to receive free email updates: