Murid Tahun 6 maut jatuh dari lantai bas infomalay12.blogspot.com

Seorang murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang, dilaporkan meninggal dunia serta-merta selepas terjerlus jatuh dari lantai tangga bas yang dinaikinya di Kampung Kandis, Pasir Puteh, hari ini.

Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, dipercayai berdiri bersama-sama rakannya yang lain berhampiran tangga di bahagian depan bas apabila dia kemudian terjatuh ke jalan raya akibat lantainya jerlus.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari ketika mereka dalam perjalanan menghadiri bengkel Bahasa Inggeris di Bukit Keluang, Terengganu.
Penyelaras bengkel berkenaan yang tidak mahu disebut namanya berkata, mangsa dalam perjalanan untuk menyertai bengkel selama dua hari itu.

“Saya difahamkan terdapat lantai berlubang di tangga bas itu yang hanya ditutup sesuatu tetapi saya tidak pasti ditutup dengan apa dan tidak mendapat maklumat lanjut,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk dibedah siasat.

Sementara itu, pihak polis di sini gagal dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut dan pihak keluarga enggan ditemui.

Ketika ini pihak media dilaporkan menunggu pegawai Jabatan Pendidikan yang dikatakan akan ke Hospital Tengku Anis untuk melihat jenazah dan bertemu keluarga.

- Bernama

Subscribe to receive free email updates: