Tarikh 11 Mei perlu terus diraikan sebagai kesinambungan perjuangan UMNO agar berkekalan apatah lagi ianya sangat penting kerana menandakan setahun juga kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, kata Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Dr Adham Baba.
“Kita sebenarnya mahu supaya kelemahan yang mereka (PH) lalui menjadikan kita kuat dan kekuatan inilah yang kita mahu gemblingkan agar kita terus berusaha dan yakin mampu untuk menjadi semula pilihan rakyat dalam negeri dan juga dalam negara,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara menjelaskan, di Johor, sambutan ulang tahun ada dalam jadual yang tentukan akan memberikan semangat yang
kuat kepada ahlinya.
“Kita telah adakan perjumpaan, siri-siri bengkel dan setiap bahagian di Johor juga telah mengadakan himpunan atau Ceramah Penyatuan Ummah yang memang amat digeruni oleh pihak lawan UMNO/PAS.
“Pendekatan kita banyak kepada isu dan sentimen yang boleh memungkinkan masyarakat dan orang ramai lebih mengetahui apa yang kita lakukan. Moga-moga UMNO kembali dan keyakinan rakyat juga kepada kita… kita mampu untuk bangkit kembali menjadi kerajaan. Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-73,” katanya lagi.
Tarikh 11 Mei ini UMNO akan genap 73 tahun selepas ditubuhkan pada tahun 1946 dan menerajui perjuangan nasionalisme sehinggalah kemerdekaan negara.