Kementerian Pendidikan galak semua guru duduki MUET - Timb. Menteri infomalay12.blogspot.com

TAIPING - Guru bukan opsyen bahasa Inggeris berpeluang mengajar bahasa itu sekiranya mencapai tahap penguasaan minimum C1 dalam kelayakan "Common European Framework of Reference for Languages" (CEFR) melalui peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kementeriannya menggalakkan mana-mana guru bukan opsyen bahasa Inggeris mengambil peperiksaan MUET bersama-sama guru bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka menukar opsyen mengajar sekiranya berkelayakan.

Menurutnya, kerajaan berhasrat memastikan tahap penguasaan bahasa Inggeris di antara guru bahasa Inggeris cukup baik dan sekiranya ada dalam kalangan guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang berkelayakan, ia memberi nilai tambah kepada sekolah.

"Kalau kita menggunakan kelayakan CEFR, guru-guru bahasa Inggeris yang mengajar di sekolah rendah dan menengah diwajibkan mencapai tahap penguasaan minimum C1, manakala bagi pensyarah institusi pengajian tinggi perlu mencapai C2.

"Inisiatif ini turut membolehkan kementerian mengenal pasti guru bahasa Inggeris yang benar-benar berkelayakan dan memiliki tahap penguasaan bahasa itu amat baik walaupun mereka sebelum ini mengajar opsyen," katanya kepada media dalam lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Darul Ridwan, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Speaker Parlimen, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim.
Nie Ching berkata, setakat ini, kementerian hanya menggalakkan guru-guru bahasa Inggeris untuk mengambil peperiksaan MUET dan belum mewajibkannya.

Menurutnya, mana-mana guru bahasa Inggeris didapati mencapai tahap penguasaan bahasa Inggeris kurang memuaskan, kerajaan bersedia memberikan pelbagai kursus dan latihan secara praktikal atau atas talian bagi meningkatkan tahap penguasaan mereka.

"Inisiatif ini juga merupakan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dalam memastikan generasi pelajar masa hadapan mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris amat memuaskan," katanya.

Terdahulu, arahan supaya guru mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaan MUET itu dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dalam satu pekeliling pada 14 April lalu, bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menurut arahan pekeliling itu, semua guru opsyen bahasa Inggeris juga perlu berada pada tahap penguasaan minimum C1 dalam kelayakan CEFR.

Peperiksaan MUET itu juga perlu dilakukan sebelum hujung Disember tahun ini dan dibuat dengan pembiayaan sendiri.

Bagaimana, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) semalam tidak bersetuju dengan arahan pekeliling itu atas alasan menekan dan membebankan guru bahasa Inggeris.

Sementara itu, Nie Ching turut meluluskan peruntukan RM80,000 kepada SMK Ridwan untuk membaik pulih dua blok bangunan dan sebuah kantin.

Sumber: Sinar Harian

Subscribe to receive free email updates: