Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata bulan Mei pelbagai ulang tahun diraikan termasuklah sambutan ulang tahun UMNO dan pada masa yang sama ianya adalah ulang tahun pertama musibah melanda negara serta juga negeri Melaka apabila hilangnya kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN).
Pada masa yang sama beliau turut berpandangan kekalahan BN pada 9 Mei lalu membawa hikmah yang cukup besar untuk melihat bagaimana negara diolah selama 60 tahun yang lalu berbanding dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang akan menyambut ulang tahunnya dalam masa beberapa hari sahaja lagi.
“Apa yang kita dapat… apabila diberikan segala pengharapan yang cukup tinggi anak muda balik bercakap dengan ibu bapa soal Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Zaman kerajaan BN tidak boleh ke luar negara sebab tersangkut di lapangan terbang… nak pergi Singapura tidak boleh… Jakarta tidak boleh dan sebagainya lagi sebab kerajaan BN menyekat mereka yang tidak membayar PTPTN.
“Ooo… sedap-sedap pula mereka (PH) berjanji itu dan ini… ada mereka tunaikan…? Anak-anak muda memang geram dengan dasar kerajaan tetapi mereka terlupa mereka berjaya hasil daripada pemikiran mereka-mereka yang telah menguruskan negara selama 60 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perpaduan Ummah di Kompleks PAS Jasin, Jumaat malam.
Turut berceramah Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Rauf seterusnya menambah dalam Perlembagaan ada disentuh soal biasiswa namun rakyat makin ramai dan universiti yang makin bertambah meningkatkan lagi permintaan.
“Kita menguruskan dalam satu kaedah pinjaman iaitu PTPTN… akhirnya orang muda marah. Tidak apa lagi… ada lagi… kalau kita menang tidak payah tunggu dua minggu… esok minyak turun… akhirnya hibah Tabung Haji pula yang turun. Ini yang kita rasakan sekarang,” ujarnya.
Ujarnya lagi perlu diingatkan segala janji-janji berkenaan sememangnya mempengaruhi orang muda untuk mengubah struktur pemerintahan yang cukup baik selama ini.
“Bukan itu sahaja… beratur semua menteri yang ada sekarang tunjuk perasaan gantung dekat leher ‘batal AES’, ‘turun harga minyak’… hari apabila mereka memerintah barulah tahu bagaimana mahu menguruskan negara ini.
“Sebelum ini mereka balun kita segala-galanya ikut sedap mulut… hari ini masa kita balun mereka. Baru tahu sekarang ini apabila menjadi kerajaan,” katanya.
Tambahnya lagi rakyat perlu ingat dan jangan lagi terpedaya dengan janji-janji manis.
“Baru-baru ini kita hormatilah Tun Daim kata beri masa enam bulan… ingat senang ke enam bulan… berniaga kedai runcit ke nak pulihkan ekonomi. Kita tunggu dan kita tengok sebab kita menerima apa juga dasar yang dibuat kerajaan, rakyat akan terima. Kalau baik kita katakan baik… kalau tidak baik kita berhak untuk menukar kerajaan aoabila tiba masanya,” tegasnya.
Diselang seli dengan pantun Rauf turut mencuit hati mereka yang hadir di penghujung ucapannya.
Ikan basah ikan masin,
Sayur keladi tepi perigi;
Memang hebat orang Jasin,
Pilihan raya akan datang jangan salah undi.