Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya tentang pendirian mereka berkaitan ekonomi dan perkiraan dalam beban hutang negara.
Katanya, projek ECRL untuk merancak dan membangun ekonomi rakyat pantai timur akan memberi pulangan ekonomi kepada negara menelan kos RM55 bilion.
“Pendirian kerajaan PH ialah hutang tempoh 20 tahun untuk projek ini yang kadar faedahnya 3.25% sungguh membebankan dan mendakwa kita tidak mampu melaksanakan projek ini.
“Kalau dibahagikan jumlah hutang RM55 bilion kepada ansuran 20 tahun, maksudnya kos ansuran termasuk faedah ialah sekitar RM2.85 bilion setahun, tetapi, kerajaan PH memaksa Petronas membayar dividend RM80 bilion (2018: RM26b, 2019: RM54b) untuk tahun ini dan tahun depan.”
Sehubungan itu tegasnya, kerajaan PH juga sanggup melepaskan hasil RM25 bilion setiap tahun apabila menukar dari GST kepada SST iaitu satu langkah yang banyak menguntungkan ekonomi gelap dan orang kaya yang sering mengelak cukai.
“Jadi, adakah dividen RM80 bilion dari Petronas ataupun hasil tambahan RM25 bilion setiap tahun tidak cukup untuk membayar kos ECRL sebanyak RM2.85 bilion setiap tahun?
“Adakah rakyat pantai timur tak layak menerima pembangunan atau peluang meningkatkan ekonomi mereka?” soal beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Pekan melalui laman media sosialnya hari ini.
Dilaporkan, projek ECRL digantung berkuat kuasa serta-merta sejak 3 Julai lalu susulan kenyataan Guan Eng bahawa kos sebenar projek terbabit sepanjang 688.3 kilometer (km) membabitkan perbelanjaan RM81 bilion dan ia perlu dikurangkan secara signifikan supaya berdaya maju dari segi kewangan.
Kerajaan PH menghapuskan GST menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 sejak diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada kadar 6% mulai 1 April 2015 dan kira-kira RM44 bilion dikutip daripada sistem percukaian itu.