Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah mencabar wakil rakyat DAP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui dan ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong untuk berdebat mengenai cadangan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini.
Mohd. Shahar yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO berkata, pihaknya akan keluarkan surat jemputan dalam tempoh 48 jam untuk tawaran debat ini dan mereka boleh tentukan lokasi sama ada di Tras atau Tanah Rata.
"Saya mahu mereka lebih memahami usaha memakmurkan negara ini dan bukan menghancur keharmonian yang dikecapi selama ini.
" Sebagai wakil suara anak muda di Dewan Negara saya mahu semua wakil rakyat Melayu Islam membantah cadangan ICERD ini namun agak malang apabila mereka menganggap kita pula kita faham.
"Kenapa mereka (kerajaan Pakatan Harapan) sibuk untuk meratifikasi ICERD sedangkan isu rakyat yang dilaungkan manifesto sebelum ini tidak dilaksanakan," katanya ketika berucap di Himpunan Membantah ICERD di pekarangan masjid negeri, Masjid Sultan Ahmad Shah di sini semalam.
Perhimpunan selama kira-kira sejam itu bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat yang disertai pemimpin UMNO, Pas dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).
Antara pemimpin yang hadir ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabbar; Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato' Sri Mohd. Sharkar Shamsudin ; Ketua Pemuda UMNO, Dato' Dr. Ashraf Wajdi; Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia, Amir Syafiq Mohd. Dahlan dan Presiden Persatuan Pembimbing Masyarakat Sejahtera (PPMS), Dr. Syaraf Naquib.
© Utusan Melayu (M) Bhd