Setelah menerima kritikan keras daripada netizen, Marina Mahathir meredakan ketegangan dengan memberi penjelasan bahawa komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini hanya mahukan kesamarataan dari sudut hak asasi manusia yang terkandung dalam perlembagaan.
Beliau berkata, dipetik Sinar Harian
Apa saya maksudkan hak sama rata ialah hak di bawah perlembagaan kita. Mereka (komuniti LGBT) adalah rakyat Malaysia dan manusia juga. Hak asasi manusia seperti nak pergi ke sekolah, nak pergi hospital, takkan lah itu semua tak boleh?
Mereka ketika ini hadapi diskriminasi dari segi kehidupan seharian. Orang yang menentang sangat, apa hak yang mereka nak ambil daripada golongan ini?
Kalau mereka sakit takkan nak biarkan saja di tepi jalan? Kalau mereka didera atau dipukul, bukankah mereka ada hak untuk laporkan kepada polis dan dapat tindakan daripada polis seperti kita semua? Itu saja yang mereka minta, bukan lebih daripada itu.
Adakah undang-undang kita membenarkan kita dengan tak pasal-pasal nak pergi pukul orang atau menghalang orang daripada bekerja tanpa ada alasan yang baik. Jadi kita kenalah ikut undang-undang.
Ada yang kata hak sama rata yang dituntut itu seperti membenarkan golongan lelaki kahwin dengan lelaki misalnya. Mana ada ini semua. Di Malaysia tak ada sebab undang-undang kita tak benarkan, dan mereka tak minta perkara itu langsung.
Kononnya mereka nak cabar undang-undang? Mungkin perkara itu tak akan jadi langsung. Mereka hanya minta hak mengikut undang-undang dan perlembagaan kita sekarang, itu saja.
Kita faham Marina Mahathir cuba untuk meredakan ketegangan dengan isu sensitif yang cuba beliau bangkitkan. Persoalannya, sejak bila golongan LGBT dinafikan sebagai hak berdasarkan perlembagaan.
Adakah mereka dilarang bersekolah, bekerja, mendapatkan perubatan di mana-mana fasiliti Kerajaan, mengumpul kekayaan atau mendapatkan perlindungan polis sekiranya berlaku jenayah ke atas mereka?
Rakyat Malaysia masih bertamadun tidak sesuka hati untuk memukul dan mencederakan golongan ini seperti mana yang berlaku di Russia.
Tahukah Marina Mahathir, Nur Sajat, salah seorang golongan LGBT merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan merupakan seorang jutawan. Hak apa lagi yang Marina Mahathir mahukan untuk golongan ini?