Guru SMK Ketereh mahu Pengetua ditukarkan infomalay12.blogspot.com

KOTA BHARU - Guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh di sini menaikkan sepanduk di dalam kawasan sekolah berkenaan menggesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan agar menukarkan pengetua sekolah itu.

Seorang guru wanita sekolah berkenaan berkata, suasana persekolahan di sekolah berkenaan berada dalam keadaan dingin apabila guru-guru, pekerja sekolah serta pelajar-pelajar menyatakan tertekan untuk bekerja dan belajar.
"Bagi pihak guru-guru kami merasakan apa yang dilakukan untuk menaikkan moral pelajar dalam pembelajaran tidak kena padanya.

"Dia sentiasa mengeluarkan kata-kata ugutan kepada kami. Kami sudah biasa dengan ugutan akan ditukarkan tempat perkhidmatan, bagi markah kurang jika dia tidak berkenan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Petugas media hari ini secara kebetulan ke sekolah berkenaan untuk membuat liputan berhubung kejadian 46 pelajar perempuan termasuk dua guru, seorang pembantu makmal dan seorang pelajar lelaki diserang histeria.

Guru-guru berkenaan mengangkat sepanduk agar pengetua sekolah berkenaan dipindahkan kerana tidak tahan lagi menjadi mangsa tekanan kerja.

Sementara itu, seorang guru lain pula berkata, mereka sudah buntu untuk bekerja dalam keadaan tertekan sebegitu malah kesan tersebut turut dirasai oleh pelajar-pelajar mereka.

"Kami mohon pihak atasan malah JPN sendiri agar turun padang mendengar sendiri suara hati tenaga pendidik di sekolah ini.

"Kerana sayangkan pelajar, kami kuatkan semangat dan tetap meneruskan pengajaran berikutan persedian untuk peperiksaan mereka," katanya.

Terdahulu, pengetua sama turut berdepan kontroversi dua tahun lalu selepas kira-kira 20 ibu bapa pelajar sekolah itu berdemonstrasi di hadapan sebuah sekolah di Pasir Mas bagi mendesaknya ditukarkan kerana dilaporkan bersikap terlalu tegas terhadap pelajar.

loading...

Subscribe to receive free email updates: