Pua berkata kedua-dua projek terbabit perlu dijamin oleh Kementerian Kewangan berikutan masalah yang dihadapi oleh kontraktor sebelum ini.

Menurut Pua, Arul pada malam Isnin menyatakan kepada umum bahawa kejayaan 1MDB perlu dilihat dengan kejayaannya dalam TRX dan Bandar Malaysia.
"Saya baru memandu melalui pangkalan udara Sungai Besi, saya boleh lihat satu padang hijau yang luas. Jadi apa kejayaan Bandar Malaysia?"
Katanya, projek berkenaan ditinggalkan tanpa pemaju untuk mengambilnya sejak kontrak pertama dengan Iskandar Waterfront dibatalkan kerana kegagalannya melaksanakan obligasi kewangan berjumlah RM7.41 bilion.
Pua turut menyebut mengenai sukuk RM2.4 bilion yang diambil syarikat pelaburan itu tetapi kemudian mendapati menerusi laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang negara (PAC) bahawa 90% daripada pinjaman itu tidak pernah digunakan dalam pembangunan Bandar Malaysia atau TRX.
Walaupun pembangunan TRX lebih baik, Pua berkata Arul gagal menyatakan 1MDB telah membeli tanah pada harga murah RM65 sekaki persegi dan menjualnya kepada institusi berkaitan kerajaan dengan harga tinggi yang tidak masuk akal.
"Tabung Haji membeli tanah TRX pada 2015 pada harga lebih RM2,700 kaki persegi manakala syarikat lain LTAT, Affin Bank, membeli pada harga lebih RM4,500 kaki persegi.
Tanah 3.4 ekar yang sebelum ini dijual oleh 1MDB kepada pemaju hartanah swasta, Indonesian Mulia Property Development pada harga RM665 juta, Kementerian Kewangan baru-baru ini perlu memperoleh 51 peratus kepentingan dalam projek itu.