PADANG TERAP 18 Mac - Kementerian Pendidikan menyokong penuh dan mengalu-alukan sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran berita palsu berkaitan sebuah sekolah di Selangor, Khamis lalu.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penyebaran fitnah tersebut dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan imej institusi pendidikan dan memburuk-buruk Kementerian Pendidikan.
“Kementerian mempunyai struktur yang merangkumi jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD), guru besar dan guru yang menyelia makanan kepada pelajar jadi jika ada aduan laporkan mengikut saluran yang betul.
“Saya harap pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengambil tindakan undang-undang berhubung fitnah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Muafakat Peladang peringkat daerah di Dataran Kuala Nerang di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Kama Noriah Ibrahim dan Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang negeri, Datuk Abd. Lateh Mohd. Saman.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan 26 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tinggi, Selangor tidak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan kononnya sekolah berkenaan memohon sumbangan awam membaiki kemudahan sebagai fitnah.
Mahdzir berkata, berita palsu yang tular sejak beberapa hari lalu yang turut memaparkan nombor akaun bank sekolah berkenaan dinafikan pihak sekolah termasuk PIBG.
“Siasatan secara terperinci sedang dijalankan bagi mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab dan saya harap tindakan diambil bagi menjaga nama baik institusi sekolah dan Kementerian Pendidikan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Pas Selangor tidak sepatutnya mendoakan keruntuhan Barisan Nasional (BN) demi untuk merampas Selangor.
“Kalau mereka doa Pakatan Harapan yang diketuai DAP hancur itu hal mereka sendiri, masing-masing ada kaedah.
“Kita apabila melakukan solat hajat dan berdoa mintalah perkara yang positif untuk kebaikan ummah dan rakyat di negara ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
loading...