Kemunduran anak kota: Ke mana Ku Nan, datuk bandar menghilang? infomalay12.blogspot.com

DI MANAKAH tindakan segera Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkait dapatan kajian Unicef tentang keadaan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak miskin bandar?
Seharusnya, menteri Wilayah Persekutuan, yang suatu ketika dahulu dijenamai semula dengan terma tambahan – kesejahteraan bandar, tampil secara prihatin untuk menyelami isu kesihatan dan kebajikan kanak-kanak Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kota Kuala Lumpur.
Sayangnya pada hari ini, anak-anak PPR tidak mendapat akses kepada makanan sihat, sehinggakan 23% mempunyai berat badan berlebihan dan 20.7% daripada mereka mengalami masalah pertumbuhan terbantut.
Di kala kerajaan sibuk mengangkat polisi kesihatan negara, kadar pertumbuhan terbantut anak-anak miskin bandar Kuala Lumpur yang lebih tinggi berbanding Ghana (18.8%) memberi persepsi buruk tentang keadaan sebenar di lapangan.
Tidak dapat saya bayangkan, apabila ada kanak-kanak yang hanya dapat menjamah makanan sekali sehari, disebabkan kesempitan hidup yang dialami.
Saya turut bimbang melihatkan sejumlah 97% responden kajian bergaji RM2,500 yang gagal menjaga pemakanan anak-anak disebabkan harga barangan yang melampau. Bukankah ini petanda besar masyarakat di bawah sedang berdepan krisis kehidupan yang membahayakan?
Meskipun berkali-kali isu ini saya angkat di peringkat umum, jelas dapat dilihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi berkenaan lebih fokus pada pembinaan infrastruktur yang hanya mementingkan pihak tertentu.
Hakikatnya, program kebajikan yang kononnya berteraskan rakyat dipenuhi unsur birokrasi dan melambatkan sebarang bentuk bantuan untuk diterima warga PPR.
Bukankah sumbangan pembayar cukai warga kota juga digunakan untuk membantu golongan B40 Kuala Lumpur melalui pelaksanaan program kebajikan jangka panjang yang menyenangkan, bukan sekadar membangunkan projek mega dan fizikal Kuala Lumpur?
Saya turut ingin mempersoalkan pengurusan belanjawan DBKL, yang diberi RM2.905 bilion dalam belanjawan 2018. Jumlah ini adalah jauh lebih tinggi berbanding peruntukan negeri Kedah (RM 1.8 bilion) dan Perak (RM 1.17 bilion), serta hampir sama dengan belanjawan negeri Selangor (RM 3.12 bilion).
Namun, penduduk PPR di Kuala Lumpur terus bersedih kerana gagal merasai perancangan dan program kebajikan secara sistemik. Akibatnya, anak-anak sengsara dan ibu bapa meronta di celahan hiruk-pikuk kota.
Bagi saya, inilah hasil kelemahan sistem pengurusan Kuala Lumpur, apabila datuk bandar dilantik oleh kerajaan persekutuan dan tidak dipilih rakyat.
Nyata, kesusahan hidup di Kuala Lumpur ini tidak dirasai sendiri oleh datuk bandar yang begitu ghairah meluluskan projek-projek besar di Kuala Lumpur.
Dengan ini, saya menggesa satu perbincangan meja bulat antara menteri Wilayah, datuk bandar, dan kesemua ahli Parlimen Kuala Lumpur diatur secepat mungkin.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :